Cik Pia mohon mahkamah arah Nur Nilam Ortiz, Azlan Komeng bayar jaminan kos RM75,000 - Utusan Malaysia

Cik Pia mohon mahkamah arah Nur Nilam Ortiz, Azlan Komeng bayar jaminan kos RM75,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Norsufia Johari atau lebih dikenali sebagai Cik Pia, memohon mahkamah mengarahkan pasangan selebriti, Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz, membayar jaminan kos berjumlah RM75,000 susulan saman fitnah yang difailkan terhadapnya.

Permohonan itu dibuat atas alasan plaintif pertama, Nur Nilam atau nama sebenarnya Norhaslinda Abdullah, merupakan warganegara Thailand dan berkemungkinan meninggalkan negara pada bila-bila masa, manakala plaintif kedua, Mohd Azlan Kamiran pula telah diisytiharkan bankrap.

Peguam yang mewakili Norsufia, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates berkata, permohonan jaminan kos tersebut telah difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Kes ini melibatkan dua plaintif iaitu Norhaslinda Abdullah (Nur Nilam) dan Mohd Azlan Kamiran (Azlan) terhadap seorang defendan, Norsufia Johari.

“Prosiding ini membabitkan dakwaan berhubung isu kerjasama perniagaan, penjualan produk, kenyataan di media sosial serta perkara berkaitan reputasi perniagaan.

“Sehubungan itu, permohonan supaya plaintif membayar jaminan kos sebanyak RM75,000 telah difailkan pada Disember 2025 dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sidang media pada hari ini.

Menurut Adnan, permohonan tersebut dibuat berdasarkan status kewarganegaraan plaintif pertama dan kedudukan kewangan plaintif kedua yang masih berstatus bankrap.

Dalam masa sama, dia turut memaklumkan satu permohonan untuk membatalkan writ saman serta pernyataan tuntutan oleh plaintif kedua turut dikemukakan menerusi afidavit sokongan.

“Defendan mendakwa plaintif kedua memfailkan tindakan ini ketika masih berstatus bankrap yang belum dilepaskan dan dipercayai tidak memperoleh kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Insolvensi sebelum memulakan tindakan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, prosiding perbicaraan bagi kes saman fitnah yang difailkan oleh Nur Nilam dan Azlan terhadap Cik Pia dijadualkan berlangsung pada 13 dan 14 Jun tahun hadapan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada Ogos lalu, pasangan terbabit memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan provokasi di media sosial.

Menurut dokumen mahkamah, kenyataan tersebut didakwa mengandungi unsur fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi serta buli siber sehingga menyebabkan Nur Nilam mengalami tekanan emosi, lebih-lebih lagi ketika berada dalam keadaan hamil.

Azlan dan Nur Nilam sebelum ini turut memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 November lalu bagi menghalang Cik Pia daripada terus mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut selepas meneliti hujahan dan dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN