KUALA LUMPUR: Isu obesiti terus diberi perhatian menerusi program didik hibur terbaharu berjudul My Body My Life yang mengupas pelbagai komplikasi perubatan berpunca daripada masalah berat badan berlebihan demi memberi manfaat kepada masyarakat.
Program terbitan TVS itu disiarkan setiap Ahad, pukul 6.30 petang bermula 5 Oktober menerusi saluran TVS 122 MYTV, unifi TV dan Astro, dengan tumpuan khusus terhadap isu-isu kesihatan yang sering dikaitkan dengan obesiti.
Penerbitnya, Sherry Sidek berkata, My Body My Life membawa penonton menyelami pelbagai keadaan perubatan serius yang tercetus akibat obesiti.
“Setiap minggu, kami membincangkan topik berbeza mengenai komplikasi perubatan akibat obesiti supaya penonton benar-benar memahami punca dan perkembangannya.
“Paling penting, kami mahu membimbing penonton mendapatkan rawatan sewajarnya. Kami bukan hanya mendedahkan masalah, sebaliknya turut menunjukkan jalan penyelesaian,” katanya.
Sherry berkata, program itu mengekalkan keseimbangan antara perkongsian kisah pesakit sebenar yang menyentuh emosi bersama penjelasan pakar perubatan.
Sebanyak 13 episod menampilkan seramai 30 pakar daripada 19 hospital berbeza, antaranya Dr. Mustafa Mohammed Taher Al-Khafaji, Datuk Dr. Zanariah Hussein, Dr. Mohammad Ihab Ismail, Dr. Haliza Kamarudin, Dr. Kamarulzaman M. S. Kadir, Prof. Dr. Mohamed Faisal Abdul Hamid dan Dr. Norizan Othman.
Menurut Sherry, setiap pakar memberikan penjelasan yang jelas serta berasaskan fakta bagi memastikan penonton bukan sekadar mendengar teori, malah dapat melihat kesannya dalam kehidupan sebenar.
“Sebagai penerbit, saya percaya kisah kesihatan mesti dikendalikan dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.
“Apabila pesakit berkongsi perjalanan hidup mereka, kepercayaan besar telah diberikan kepada kami.
“Sebab itu kami bekerjasama rapat dengan pakar yang berkelayakan bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat, sahih dan boleh dipercayai,” jelasnya.
Menariknya, My Body My Life dikendalikan oleh hos Dr. Nisa Nabila, 30, seorang pengamal perubatan yang berpengkhususan dalam penurunan berat badan, perubatan bariatrik, kesihatan metabolik dan kesejahteraan gaya hidup.
Dr. Nisa yang bertugas di Pusat Perubatan Cengild berkata, dia berusaha memastikan penyampaian program dilakukan secara santai agar mesej kesihatan mudah difahami penonton.
“Saya menggunakan bahasa seharian, bercerita, berjenaka dan berkongsi kisah sebenar supaya tidak kelihatan kekok. Paling penting, saya menjadi diri sendiri seperti ketika mengendalikan pesakit.
“Nasihat kesihatan bukan sahaja perlu menyentuh minda, tetapi juga hati,” katanya.
Mengulas pengalaman penggambaran, Dr. Nisa mengakui terdapat satu episod yang benar-benar menyentuh perasaannya, iaitu mengenai isu ketidaksuburan.
“Ramai tidak sedar obesiti berkait rapat dengan ketidaksuburan.
“Saya sering melihat pasangan yang telah bertahun-tahun berusaha mendapatkan zuriat, namun tanpa disedari berat badan menjadi punca utama kekangan tersebut,” katanya.
Menurutnya lagi, pendedahan sebegini diharap dapat membuka mata masyarakat bahawa obesiti bukan sekadar isu penampilan, tetapi turut memberi kesan besar terhadap kesihatan dan kualiti hidup.










