Malique tetap penyanyi rap bertaraf legenda - MK K Clique - Utusan Malaysia

Malique tetap penyanyi rap bertaraf legenda – MK K Clique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap kumpulan K-Clique, MK, menegaskan bahawa nama Malique Ibrahim masih kekal sebagai figura legenda yang sangat dihormati dalam dunia hip-hop tanah air walaupun penyanyi itu sudah lama menyepi daripada tampil di hadapan umum.

Menurut MK, meskipun Malique memilih untuk berada sepenuhnya di belakang tabir, pengaruh serta sumbangan besar figura itu terhadap perkembangan muzik hip-hop tempatan masih terus dirasai sehingga hari ini.

“Bagi saya, Malique dan Joe Flizzow memang tak boleh dinafikan. Mereka adalah artis rap terkemuka yang sampai sekarang masih menghidupkan hip-hop di Malaysia.

“Saya juga teruja apabila Malique mula menunjukkan keaktifan di media sosial kebelakangan ini.

“Orang perasan dia nampak lebih aktif di media sosial walaupun tak tunjuk muka. Ada yang kata dia macam dah ada hasrat nak keluar dan nak berjumpa orang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut MK, dia sendiri membesar dalam era kegemilangan Malique, namun mengakui tidak pernah mengenali keperibadian sebenar penyanyi itu kerana Malique memilih untuk menjauhkan diri daripada dunia hiburan secara terbuka.

“Saya berada di zaman bila Malique sudah mula menjauh daripada dunia hiburan dan memilih untuk berada sepenuhnya di belakang tabir. Tetapi saya mendengar lagu-lagunya termasuk ketika dia berada di era Too Phat lagi.

“Jadi saya sendiri tak tahu susuk dan keperibadian dia macam mana. Dalam masa sama, saya mengakui sangat mengagumi Malique dan menyimpan impian untuk suatu hari dapat bekerjasama dengan dia.

“Saya memang teringin sangat nak bekerja dengan dia dan nak melihat sosok seorang Malique yang sebenar,” katanya.

Selain itu, MK turut menyentuh tentang realiti generasi baharu yang semakin kurang mengenali Malique berikutan perubahan landskap industri muzik tempatan.

“Ramai generasi sekarang yang bertanya siapa Malique dan apa yang hebat sangat tentang dia. Pandangan mereka tak sama macam generasi yang sebelum ini.

“Bagaimanapun saya percaya usaha Malique bekerjasama dengan penyanyi rap baharu seperti Yonniboy dan sebagainya mampu memperkenalkan semula nama Malique kepada generasi muda.

“Bila dia buat kolaborasi dengan rapper-rapper baharu, pendengar generasi sekarang akan mula mengenali Malique dan tahu sejarah dia,” jelasnya.

Selain itu, menurut MK, walaupun Malique tidak lagi aktif sebagai penyanyi di hadapan pentas, karya-karya komposer itu masih terus berjalan dan menjadi sebahagian penting dalam industri.

“Walaupun dia di belakang tabir, dia masih hasilkan lagu, tulis lagu untuk OST dan karya-karya lain. Jadi karya dia masih berjalan.

“Orang yang mengenali Malique akan tahu dia masih ada, dan kemahiran serta hip-hop yang dia miliki itu memang masih ‘legend’ bagi saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN