KUALA LUMPUR: Konsert Malam 3 Suara yang berlangsung di Idea LIVE Arena, malam tadi berjaya menyentuh emosi kira-kira 4,000 penonton menerusi persembahan penuh penghayatan tiga penyanyi popular Indonesia iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito.
Persembahan lebih dua jam itu menyaksikan arena dipenuhi sorakan serta nyanyian bersama penonton yang jelas terbuai dengan rangkaian lagu balada, cinta dan harapan, sekali gus membuktikan kehangatan sambutan terhadap konsert eksklusif berkenaan.
Dibawakan oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd., Malam 3 Suara bukan sekadar sebuah konsert hiburan, sebaliknya mengetengahkan naratif muzik yang menyatukan tiga identiti vokal berbeza dalam satu malam istimewa.

Setiap artis tampil dengan segmen solo sebelum bergabung dalam persembahan duet serta kolaborasi khas yang hanya dipersembahkan pada malam tersebut.
Gabungan kelembutan vokal Anggi Marito, emosi mendalam Fabio Asher serta pesona dan tenaga Rizky Febian berjaya mencipta harmoni yang menyentuh perasaan penonton daripada pelbagai lapisan usia.

Lebih 20 buah lagu yang dipersembahkan secara tersusun turut mengekalkan emosi penonton dari awal hingga akhir konsert.
Menurut wakil penganjur, kejayaan konsert itu membuktikan muzik yang jujur dan berjiwa mampu merentasi sempadan serta menghubungkan emosi antara artis dan peminat.
“Sambutan luar biasa daripada 4,000 penonton malam ini amat bermakna buat kami.
“Malam 3 Suara berjaya mencapai matlamatnya sebagai sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan, malah membelai jiwa dan meninggalkan kenangan indah,” katanya.
Konsert berkenaan sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam penganjuran acara muzik rentas negara, selain membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi serantau pada masa hadapan.

Sementara itu, terdahulu, antara lagu-lagu hits yang dibawakan oleh Rizky termasuk Hingga Tua Bersama, Seperti Kisah, Kesempurnaan Cinta, Makna Cinta, Terlukis Indah, Selama Kau Bernafas dan Penantian Berharga.
Untuk Anggi, penyanyi itu telah menunaikan ‘tugasnya’ menghiburkan penonton dengan lagu hits seperti Cara Mencintaimu, Kisah Penuh Kecewa, Aku Bukan Untukmu, Cukup Pergi Sahaja, Mahir Memberi Luka dan Tak Segampang Itu.
Fabio juga tidak kurang hebatnya dalam memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu dendangan berjudul Bertahan Terluka, Aku Berjanji, Tanpa Rasa Bersalah, Pelangi, Berharap Kau Kembali, Cuek dan Rumah Singgah.










