Makan Malam Amal Legends satukan muzik dan kemanusiaan - Utusan Malaysia

Makan Malam Amal Legends satukan muzik dan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Konsert Legends yang dianjurkan sebagai acara kemuncak perayaan jubli perak Karyawan berlangsung pada 27 Disember di World Trade Centre Kuala Lumpur telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan besar, menghimpunkan peminat muzik tanah air serta berjaya mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan, khususnya penggiat seni dan individu yang berdepan kesukaran hidup. Ia turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai Tetamu Kehormat.

Majlis makan malam amal tersebut dipenuhi dengan lebih 500 penderma yang dihiburkan oleh persembahan penuh bertenaga dan emosi daripada barisan legenda muzik Malaysia, Sweet Charity selaku tarikan utama. Turut menggegarkan pentas ialah Datuk Khadijah Ibrahim, Kopratasa, Helen Velu, Datuk Andre Goh, Datuk Ito Blues Gang, Mariam Ahmad dan Soma yang menyampaikan lagu hasil nukilan Allahyarham S Atan bersama-sama menyampaikan rangkaian lagu ikonik merentas generasi dalam persembahan hampir empat jam.

Malam bersejarah berkenaan turut diserikan dengan slot khas gitaris legenda tanah air, menampilkan Man Kidal, Kid Search, Simon Carefree dan Sharul Ekamatra yang bergandingan di satu pentas sebagai penghormatan kepada era kegemilangan muzik rock tempatan. Persembahan menakjubkan mereka mencetuskan sorakan gemuruh serta momen penuh nostalgia di kalangan penonton.

Penganjuran konsert ini bukan sahaja meraikan legasi seni, malah mencapai objektif kebajikan apabila hasil kutipan jualan tiket dan sumbangan berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Seramai enam penggiat seni yang memerlukan bantuan turut mendapat bantuan pada malam tersebut iaitu Murali Abdullah, Olie Heavy Machine, Salleh Yaacob, Mak Jah, Opie Black Maria dan pelakon Sahronizam.

Lelongan amal unit lukisan tangan oleh pelukis Cheb Ali juga telah diadakan pada malam tersebut dan dibida oleh Puan Seri Raja Noreza dan Datin Sri Datuk Jasmine Raj sebanyak lima ribu bagi membantu menambah kutipan dana untuk persatuan.

Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata sebanyak RM100 ribu berjaya dikumpul dan ia membuktikan acara mencapai tujuannya, iaitu memberi peluang persembahan kepada ramai rakan artis serta membantu mereka yang memerlukan.

Penampilan pemain saxophone muda, Kenanga Juwita yang merupakan anak kepada Olie dari Heavy Machine band yang kini uzur turut hadir sebagai salah seorang penerima bantuan. Majlis turut dimeriahkan oleh pengacara dan pelawak Helmi Gimmick yang tidak henti-henti membuat penonton terhibur dengan lawaknya.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja seperti Weststar, Saloma Kuala Lumpur, Seri Pacific Hotel, Tsl Bestmas Manufacturing, Sos Ibu oleh Mp Media Studio, Seri Ternak Sdn Bhd, WTC Kuala Lumpur Hotel Seri Pacific, rakan media, pasukan produksi serta penonton yang hadir dan menyumbang, sekali gus menjayakan Makan Malam Amal Legends sebagai sebuah acara bermakna yang menyatukan muzik, kenangan dan kemanusiaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN