KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Kamal Hyzail menegaskan dia tidak pernah berniat mencari publisiti murahan menerusi penggunaan lirik berunsur kasar atau berbaur lucah dalam karya terbaharunya, sebaliknya hanya menggambarkan realiti masyarakat.
Menurut Kamal atau nama sebenarnya Mohd Kamal Haizail Kasim, single ketiganya berjudul K-PAP (Kamu Pusing Aku Pening) membawa identiti muzik lebih segar berteraskan aliran koplo pop rock yang menggabungkan rentak rancak serta unsur budaya serantau.
“Mesej lagu ini mungkin kedengaran lantang, namun ia berakar daripada pengalaman sebenar. Dalam kehidupan harian, terutama ketika emosi tidak stabil, bahasa yang digunakan boleh menjadi agak keras. Fenomena ini berlaku di mana-mana, tanpa mengira sempadan negara,” katanya.
Sebelum ini, Kamal tampil dengan dua single iaitu Menanti berkonsepkan slow rock dan Koyak Ker berirama fast rock.
Jelasnya, karya baharu ini memberi ruang untuknya mengetengahkan sisi muzik yang lebih unik dan berbeza.
Dicipta oleh Jahad dengan lirik tulisan J. Looi bersama Kamal sendiri, K-PAP mengangkat isu perbezaan bahasa antara Malaysia dan Indonesia yang berkongsi maksud sama tetapi membawa sebutan serta konteks berbeza.
“Kisahnya berkaitan seorang penjual coli wanita yang berkongsi pengalaman mengenai pertindihan makna antara dua bahasa sehingga boleh menimbulkan salah faham.
“Ada perkataan yang sopan di Malaysia, namun mungkin dianggap kurang sesuai di Indonesia,” jelasnya.
Kamal berkata, pendekatan satira dan humor dipilih bagi memperlihatkan sisi budaya yang jarang diberi perhatian dalam industri muzik tempatan.
Muzik video lagu tersebut turut menampilkan pelakon Farouk Hussain serta Adalia, anak kepada penyanyi popular Amy Mastura, sebagai penari.










