KUALA LUMPUR : Pelakon dan pelawak terkenal, Zulin Aziz, mengakui pernah menyangka dirinya hamil baru-baru ini, namun tanggapan itu akhirnya meleset apabila keadaan kesihatannya tidak seperti disangkakan.
Menurut Zulin, kelewatan datang bulan pada bulan lalu membuatkan dirinya teruja dan berharap berita gembira itu benar, apatah lagi setelah lebih tiga tahun menantikan zuriat.
“Bulan lepas saya lewat datang bulan. Selalunya kitaran saya sangat tepat. Bila lambat, saya memang rasa ada harapan.
“Tetapi tiba-tiba saya sakit perut teruk dan cirit-birit berulang-ulang. Ingatkan tanda awal kehamilan, rupanya tidak,” katanya.
Jelasnya lagi, perasaan kecewa muncul apabila tanda yang disangka sebagai permulaan kehamilan akhirnya hanyalah masalah kesihatan biasa.
“Saya memang cepat buat ujian bila lambat dua hari pun. Tapi kali ini saya tunggu sebab yakin. Bila akhirnya tak jadi, memang sedih,” katanya.
Dalam pada itu, Zulin turut memaklumkan bahawa dia kini memberi tumpuan terhadap usaha mendapatkan zuriat melalui rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Zulin berkata, dia juga sebenarnya menyimpan hasrat seandainya memenangi pertandingan Muzikal Lawak Superstar (MLS) baru-baru ini, dia mahu menggunakan wang kemenangan itu untuk menampung kos rawatan tersebut.
“Saya memang berniat nak gunakan hadiah itu untuk buat IVF. Doakan saya. Saya nak sangat ada anak,” tambahnya.
Terdahulu, Zulin yang menganggotai kumpulan Kimbab bersama Maryam Nur dan Nasz Sally meraih tempat ketiga dalam pertandingan MLS minggu lalu.
Kimbab meraih kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi.
Tempat pertama diraih oleh kumpulan Nanas yang dianggotai Achey, Namie dan Shashic sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi.
Manakala tempat kedua pula diraih oleh kumpulan Roda yang dianggotai Fad, Sharif dan Naqiu yang menyaksikan mereka menerima hadiah wang tunai RM75,000 berserta trofi.










