Konsert Legacy 30, satu pencapaian terbesar dalam kerjaya nyanyian saya- Umairah - Utusan Malaysia

Konsert Legacy 30, satu pencapaian terbesar dalam kerjaya nyanyian saya- Umairah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi meningkat naik, Umairah, 14, menyifatkan peluang beraksi pada Konsert Legacy 30 Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari depan sebagai pencapaian terbesar dalam karier nyanyiannya setakat ini.

Umairah atau nama sebenarnya, Ummi Umairah Saiful Anuar mengakui perasaan gementar menyelubungi dirinya apabila bakal berkongsi pentas dengan barisan artis ternama di hadapan lebih 63,000 penonton.

“Saya memang gementar kerana bakal berkongsi pentas dengan artis-artis hebat pada usia 14 tahun.

“Ini merupakan satu memori yang sangat indah dan tidak pernah terlintas akan sampai ke tahap ini. Saya anggap ia sebagai rezeki selepas berhijab.

“Pada masa sama, semua ini berlaku atas sokongan Mak Iti, ibu serta keluarga,” katanya pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak saudara kepada Siti Nurhaliza itu berkata, Konsert Legacy 30 bakal menjadi penampilan sulungnya di pentas berskala stadium.

“Saya tidak pernah beraksi di stadium dan ini merupakan kali pertama dalam karier nyanyian saya.

“Sebelum ini, saya pernah mengadakan persembahan bersama Hafiz Suip di Megastar Arena serta bersama Mak Iti di Arena of Stars, Genting Highlands,” ujarnya.

Dalam pada itu, Umairah turut mengulas dakwaan kehadirannya sebagai artis jemputan konsert berkenaan kerana statusnya sebagai anak saudara kepada penyanyi tersohor itu.

“Perkara itu memang tidak dapat dielakkan kerana Mak Iti adalah emak saudara saya. Namun, saya tidak kisah dengan dakwaan tersebut.

“Apa yang penting, saya mahu buktikan kebolehan diri dan berdiri atas usaha sendiri seperti yang Mak Iti percayakan,” katanya.

Selain Umairah, Konsert Legacy 30 turut menampilkan penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan, Hafiz Suip dan Noh Salleh sebagai artis jemputan.

Untuk rekod, Umairah baru sahaja dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 dan kini berada di bawah naungan SN Legacy Sdn. Bhd. Beliau dijangka menyampaikan dua buah lagu duet bersama Siti Nurhaliza pada konsert mega berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN