LONDON: Konflik yang melanda keluarga bekas bintang bola sepak England, David Beckham, dilaporkan kembali memuncak apabila anak sulungnya, Brooklyn Beckham, didakwa menyekat akaun Instagram kedua-dua ibu bapanya, David dan Victoria Beckham.
Tindakan itu turut melibatkan dua adiknya, Romeo dan Cruz, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai keretakan hubungan yang telah lama membelenggu keluarga terkenal tersebut.
Cruz, 20, tampil menjelaskan keadaan sebenar selepas timbul dakwaan kononnya David dan Victoria berhenti mengikuti Brooklyn dan isterinya, Nicola Peltz, di media sosial.
“Ibu dan ayah saya tidak pernah berhenti mengikuti Brooklyn. Hakikatnya, mereka bangun tidur dan terus disekat, begitu juga saya,” tulis Cruz menerusi Instagram Story miliknya semalam.
Dia menegaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan menafikan sebarang tindakan ‘unfollow’ daripada ibu bapanya terhadap Brooklyn.
Perkembangan terbaharu itu sekali gus mengesahkan ketegangan yang semakin meruncing dalam keluarga Beckham.
Malah sumber terdekat memaklumkan keluarga tersebut dijangka menyambut Krismas tanpa kehadiran Brooklyn dan Nicola buat pertama kali.
Brooklyn dilaporkan akan meraikan perayaan tersebut bersama keluarga mentuanya di Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat dan pasangan itu dilihat tiba di Miami beberapa hari lalu.
Hubungan dingin dalam keluarga Beckham mula menjadi perhatian sejak perkahwinan Brooklyn dengan Nicola Peltz pada 2022, apabila pelbagai spekulasi mengenai ketegangan antara menantu dan keluarga Beckham sering diperkatakan, meskipun tidak pernah disahkan secara rasmi.
Antara punca konflik yang diperkatakan termasuk isu gaun pengantin serta beberapa insiden ketika majlis perkahwinan yang dikatakan menimbulkan ketegangan emosi antara ahli keluarga.
Keretakan hubungan itu semakin ketara apabila Brooklyn dan Nicola tidak menghadiri majlis penganugerahan Gelaran Ksatria kepada David Beckham oleh Raja Charles III atas sumbangannya dalam bidang sukan dan kebajikan.
Pasangan tersebut juga tidak hadir ke sambutan ulang tahun David yang ke-50.
Sebaliknya, David dan Victoria turut tidak menghadiri majlis pembaharuan ikrar perkahwinan Brooklyn dan Nicola di New York, Ogos lalu.
Dalam usaha meredakan keadaan, David dilihat berkongsi foto kenangan bersama anak-anaknya, manakala Cruz turut memuat naik gambar bersama Brooklyn ketika bercuti di Brazil sebagai tanda perhatian.
“Natal ini terasa berat. Tiada siapa tahu bila mereka akan dapat bertemu Brooklyn lagi,” kata seorang sumber.
Menurut laporan The Sun, Victoria tidak lagi meletakkan harapan untuk Brooklyn menghubunginya pada Krismas ini, namun berharap anak sulungnya itu sekurang-kurangnya menghubungi datuk dan neneknya, Jackie dan Tony.
“Victoria berharap Brooklyn sekurang-kurangnya menelefon mereka sempena Krismas,” kata sumber itu.










