KUALA LUMPUR: Menamatkan teka-teki mengenai status rumah tangganya, penyanyi, Kaka Azraff akhirnya mendedahkan bahawa dia dan suami, Adam Azriff kini lebih bahagia selepas kembali rujuk.
Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 36, dia lebih selesa tidak mengulas perkara itu sebelum ini kerana enggan kisah keluarga menjadi perhatian umum.
“Ya, kami suami isteri dan doakan yang baik-baik untuk kami.
“Alhamdulillah kami bersama sebagai sebuah keluarga sekarang. Cuma saya tak suka nak hebohkan perkara ini kerana kita tak tahu masa depan macam mana. Tak boleh nak terlalu yakin,” katanya.
Kaka berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Exclusive Showcase X Listening Party yang diadakan di Bijou Cafe, Petaling Jaya, semalam.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Takleh Usik itu enggan mengulas lanjut mengenai butiran penuh termasuk bila mereka kembali rujuk.
Ini kerana, bagi Kaka, dia lebih selesa memilih untuk menyimpan perkara tersebut sebagai privasi keluarga.
Menurut Kaka, keutamaan kini adalah kebahagiaan anak-anak dan dia sanggup mengetepikan perasaan sendiri demi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang baik.
Malah Kaka mengakui kehidupannya kini lebih tertumpu kepada tanggungjawab sebagai seorang ibu.
“Keutamaan hidup saya sekerang adalah anak-anak kerana itu amanah yang diberikan oleh Allah.
“Kebahagiaan anak-anak lebih penting daripada kebahagiaan saya sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, Kaka turut mengakui pengalaman yang dilalui membuatkan dia lebih berhati-hati dan tidak terlalu terbuka berkongsi hal peribadi di media sosial.
“Dulu mungkin saya naif dan tak percaya penyakit ain, tapi bila melaluinya saya rasa memang kena jaga.
“Bukan tak nak kongsi perkara baik atau sebaliknya, cuma ini terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum,” ujarnya.
Untuk rekod, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan, 6, Aryan, 4, serta Atta Adam yang kini berusia setahun.
Sebelum ini, pasangan berkenaan dilaporkan sah bercerai talak satu dan pengesahan tersebut dibuat secara ekspres di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 28 Oktober tahun lalu.










