KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio Suria FM, Elly Ariffin, menyentuh hati ramai apabila meluahkan kerinduan mendalam terhadap arwah bapanya.
Menurut Elly, sekiranya diberi peluang untuk kembali ke masa silam walaupun hanya selama lima minit sebagaimana topik yang dibincangkan di radio hari ini, itu adalah antara hasrat yang ingin dipenuhinya.
“Kalau boleh kembali ke masa lalu, saya nak jumpa arwah ayah, kita panggil babah. Tak buat apa-apa yang besar pun, cuma nak tengok muka dia, nak peluk, nak pegang muka, nak cium pipi dan peluk lama-lama,”katanya di Tiktok.
Selain itu, Elly berkata, seandainya dapat berbuat demikian, dia juga memberitahu arwah bapanya bahawa dirinya kini seorang yang kuat walaupun terpaksa melalui pelbagai ujian hidup.
“Kalau boleh, saya nak beritahu dia, ‘Babah, anak babah ini kuat. Anak babah ini hadap macam-macam ujian. Dalam perkahwinan, dalam kehidupan, dalam perjuangan hidup.
“Tapi Alhamdulillah, Allah Maha Kaya, Maha Penyayang, Maha Adil, Maha Mendengar, dan Maha Segala-galanya. Allah tahu apa yang kita rasa dan Dia tahu bila waktu yang paling sesuai untuk kita bangkit,”katanya.
Selain itu, Elly menegaskan, kesabaran, usaha, doa dan tawakal merupakan kunci utama dalam menghadapi ujian kehidupan.
Katanya, setiap kesukaran pasti akan berakhir dengan kejayaan, diibaratkan seperti pelangi yang muncul selepas hujan.
“Waktu yang paling sesuai itu adalah saat kita sendiri, secara zahir dan batin, sudah bersedia untuk menghadapi dan menerima. Sama ada dari segi rezeki, kesihatan, kudrat atau kebahagiaan, apa sahaja.
“Waktu itu adalah waktu yang paling tepat kerana Allah lebih tahu siapa diri kita. Dia lebih mengenali kita daripada kita mengenali diri sendiri. Faham tak? Ini bukan soal nak menangis atau nak minta simpati. Maksudnya, setiap ujian yang kita terima pasti ada hikmah di sebaliknya.
“Di hujung perjalanan itu, kita akan nampak pelangi dan kejayaan. Apa yang perlu kita buat hanyalah bersabar. Bersabar dari segi ujian dan bersabar dari segi zahir dan batin. Apa yang kita impikan, Allah pasti akan laksanakan. Allah pasti akan tunaikan, cuma kita tak tahu bila,”katanya.










