Jadi ‘ibu ekspres’, satu rezeki dan peluang tambah pahala- Sissy Imann - Utusan Malaysia

Jadi ‘ibu ekspres’, satu rezeki dan peluang tambah pahala- Sissy Imann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer tanah air, Sissy Imann, mengakui telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ‘ibu ekspres’ ketika membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan yang merupakan seorang duda dan mempunyai anak.

Menurut Sissy, perkahwinan tersebut membuka lembaran baharu dalam hidupnya yang bukan sahaja melibatkan hubungan suami isteri, malah tanggungjawab terhadap anak-anak suami yang perlu diberi perhatian, kasih sayang dan keutamaan.

“Saya melihat kehadiran anak-anak ini sebagai satu rezeki dan peluang untuk menambah pahala.

“Bagi saya, ia bukan sesuatu yang membebankan, sebaliknya satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas,” katanya ketika ditemui di majlis resepsi perkahwinannya di Tamarind Square, Cyberjaya, kelmarin.

Tambah penyanyi itu, dia bersyukur kerana hubungan awal bersama anak-anak suaminya terjalin dengan baik dan diterima secara positif.

Malah, Sissy juga menghormati keputusan suaminya, untuk tidak berkongsi maklumat terperinci mengenai anak-anak tersebut demi menjaga privasi dan keselamatan mereka.

“Alhamdulillah, hubungan kami baik. Anak-anak juga selesa dan menerima kehadiran saya. Bagi saya, perkara paling penting adalah membina kepercayaan dan memberi ruang supaya mereka berasa disayangi.

“Dari segi keserasian, tidak timbul rasa kekok kerana kami sudah beberapa kali bertemu sebelum ini. Anak-anak sudah biasa memanggil ayahanda dan bonda saya sebagai datuk dan nenek.

“Saya pula mereka masih memanggil saya sebagai ‘aunty’. Tetapi apa pun, hubungan kami sebagai sebuah keluarga berjalan dengan baik,”katanya.

Dalam pada itu, Sissy mengakui peranannya sebagai ibu ekspres memerlukan kesabaran dan kefahaman yang tinggi, namun dia sudah bersedia dari segi mental dan emosi untuk melalui fasa tersebut.

“Saya sudah bersedia untuk menyesuaikan diri. Setiap keluarga ada dinamik tersendiri dan saya percaya komunikasi serta rasa hormat antara satu sama lain adalah kunci keharmonian,” katanya.

Mengulas sokongan sekeliling, Sissy berkata, keluarga dan rakan-rakan terdekat memberikan dorongan positif terhadap keputusannya untuk berkahwin dengan lelaki yang pernah berumah tangga.

Malah, menurut Sissy, antara rakan terawal yang mengetahui mengenai kehadiran bakal suami dalam hidupnya adalah penyanyi, Sarah Suhairi.

“Saya ada beritahu pada Sarah ketika mula berkenalan dengan bakal suami sebelum ini. Dia pun sebagaimana yang ramai tahu, berjodohan dengan lelaki yang juga mempunyai anak.

“Namun tak adalah saya secara khusus meminta tips. Cuma dia adalah banyak memberi sokongan serta berkongsi pengalaman dan panduan sepanjang proses perkahwinan, termasuk perkara-perkara teknikal seperti urusan borang dan prosedur,”katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai konsep majlis resepsi yang menekankan tradisi Baba Nyonya, Sissy memberitahu, idea tersebut adalah daripada bapanya sendiri.

“Tema ini sebenarnya diinspirasikan daripada latar belakang keluarga saya kerana arwah nenek merupakan keturunan Baba Nyonya dari Melaka.

“Jadi, apa sahaja yang berlaku pada majlis ini adalah atas permintaan ayahanda dan bonda.Sebagai anak, saya hanya menurut sahaja,”ujarnya.

Ditanya tentang destinasi bulan madu, kata Sissy, selepas resepsi, dia dan suami merancang untuk mengikut kedua orang tuanya ke Harbin, China.

Kemudian, kata Sissy, mereka akan berbulan madu ke Rome sekitar Januari depan yang merupakan hadiah perkahwinan suami buat dirinya.

Terdahulu, Sissy, 30, melangsungkan pernikahannya dengan Dr Zamir Hilman Dr Hamzah, 41, tepat jam 9 pagi pada 12 Disember lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Sissy dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa, disaksikan ahli keluarga terdekat serta teman rapat kedua-dua mempelai.

Pada majlis pernikahan itu, Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840 sebagai mas kahwin.

Pertukaran hantaran diteruskan mengikut adat, dengan tiga dulang daripada pihak Sissy dibalas lima dulang daripada pihak lelaki.

Antara hantaran yang mencuri perhatian ialah nombor plat kereta khas, SIS5795, gabungan simbolik nama Sissy dan tahun kelahirannya, 1995.

Jenis kenderaan yang bakal menggunakan nombor plat itu masih dirahsiakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN