KUALA LUMPUR: Perkembangan pesat teknologi digital global kini menyaksikan kemunculan gabungan Web3, kecerdasan buatan (AI) dan Chatbox SocialFi sebagai antara pemacu utama kepada pembentukan ekonomi digital generasi baharu termasuk di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi CAHTX, Joyce Kau berkata, integrasi Web3, AI dan Chatbox SocialFi membentuk satu ekosistem digital berasaskan chatbox yang membolehkan pengguna berinteraksi, belajar, berurus niaga serta menjana pendapatan dalam satu platform yang mesra pengguna.
Menurut beliau, teknologi blockchain berfungsi sebagai sistem penyimpanan data digital yang telus dan selamat, manakala AI pula membantu membuat analisis serta cadangan pintar, sementara chatbox menjadi medium utama interaksi pengguna.
“Gabungan teknologi ini mewujudkan pengalaman digital yang lebih mudah dan mesra pengguna berbanding sistem teknologi tradisional. Ekosistem CAHT membawa pendekatan baharu kepada ekonomi digital negara dengan membuka peluang kepada rakyat untuk menyertai ekonomi digital global yang lebih terbuka, inklusif dan berasaskan komuniti,” katanya.
Joyce berkata, teknologi tersebut turut menyokong perkembangan inovasi dalam bidang kewangan digital, perdagangan dalam talian serta ekonomi pencipta kandungan, selain membantu pengguna mempelajari teknologi AI dan blockchain secara praktikal tanpa memerlukan latar belakang teknikal yang kompleks.
“Antara kelebihan utama ekosistem CAHT ialah keupayaannya merendahkan halangan penyertaan dalam ekonomi digital. Pengguna tidak perlu menjadi pakar teknologi kerana kebanyakan interaksi dan transaksi dilakukan melalui chatbox AI yang ringkas dan mudah difahami.
“Penggunaan teknologi blockchain pula memastikan setiap transaksi direkodkan secara telus dan boleh disahkan sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kepercayaan pengguna,” jelasnya.
Beliau menambah, AI turut membantu pengguna membuat keputusan lebih bijak melalui analisis data serta cadangan automatik, sekali gus memberi lebih kawalan terhadap data peribadi, masa dan potensi pendapatan.
Sasaran utama ekosistem CAHT ialah golongan muda, usahawan digital, pekerja bebas, pencipta kandungan serta komuniti dalam talian yang aktif dalam ekonomi digital. Selain itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), jenama serta pengendali komuniti juga boleh memanfaatkan sistem ini untuk membina komuniti pelanggan dan mengurus ganjaran serta insentif secara lebih cekap.
Mengulas salah faham, Joyce menegaskan ekosistem CAHT bukanlah platform perbankan atau sistem pelaburan saham, sebaliknya berfungsi sebagai lapisan ekonomi sosial digital yang melengkapkan ekosistem sedia ada.
“Ia menghubungkan komunikasi sosial dengan aktiviti ekonomi seperti ganjaran, komisen, perdagangan digital dan kerjasama komuniti. Fokus utamanya ialah membina nilai ekonomi melalui interaksi sosial yang telus dan berasaskan teknologi,” katanya.
Menjelang 2026, ekosistem ini dijangka membuka lebih banyak peluang pendapatan digital kepada orang ramai termasuk ganjaran komuniti, komisen digital, penyertaan dalam kempen jenama, penciptaan kandungan, perdagangan aset digital serta penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti kerja.
Pengguna bukan lagi sekadar penonton, sebaliknya menjadi peserta aktif dalam ekonomi digital dengan menjana pendapatan berdasarkan sumbangan, kemahiran dan penglibatan mereka dalam komuniti.










