Festival Warisan Selera Timur angkat keunikan budaya Pantai Timur - Utusan Malaysia

Festival Warisan Selera Timur angkat keunikan budaya Pantai Timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Evo Mall Bangi sekali lagi tampil dengan penganjuran acara berimpak tinggi apabila mempersembahkan ‘Festival Warisan Selera Timur’, sebuah festival selama tiga hari yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 7 Disember ini di pusat beli-belah berkenaan.

Festival yang mengetengahkan tagline ‘Rasa Ori Tiga Negeri’ itu menjadi platform strategik dalam mengangkat keunikan warisan negeri-negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – khususnya kepada masyarakat di Lembah Klang. Lebih 100 hidangan ikonik serta pelbagai aktiviti kebudayaan bakal memeriahkan penganjuran sepanjang tiga hari tersebut.

Antara menu istimewa yang menanti pengunjung ialah Satar dan Otak-Otak Warung Azis Satar Kemaman, Keropok Celup Tepung, Ketupat Sotong Dapur Aryani, serta juadah popular seperti Nasi Kerabu, Laksa, Laksam, Keropok Gemok Pasar Payang, Temosa Raja Ikan & Telur, Puding Raja, Sambal Hitam Marvel, dan aneka kuih tradisional. Penganjuran ini turut mendapat sokongan strategik Tourism Malaysia sebagai sebahagian usaha mempromosi Visit Malaysia 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall Bangi, Zetty Rahim, berkata festival tersebut dianjurkan bagi memperluas apresiasi masyarakat terhadap budaya, warisan dan kesenian Pantai Timur.

“Penganjuran festival seumpama ini adalah bertujuan memperkenalkan lagi budaya, warisan dan kesenian negeri-negeri Pantai Timur kepada mereka yang berada di luar kawasan tersebut. Dengan kerjasama rakan penaja seperti Noor Arfa Batik Industri Tekstile Terengganu, Cap Bunga Ros, Billo Malaysia dan Azue Bridal, kami menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung,” katanya.

Selain makanan, festival ini turut menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan. Pada malam Jumaat, pengunjung dapat menyaksikan Persembahan Dikir Barat Istimewa menampilkan selebriti Issey bersama kumpulan Dikir Exclusive. Malam Irama Pantai Timur pula berlangsung pada malam Sabtu menampilkan barisan penyanyi terkemuka iaitu Ameng Spring, Rosma Sidik dan Syafiq Farhain.

Turut dipersembahkan ialah tarian tradisi seperti Ulek Mayang dari Terengganu dan Joget Pahang. Pada hari Ahad, pengunjung berpeluang mengikuti sesi perkongsian pengalaman oleh ‘The Helmis’ berkaitan Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla.

Tidak ketinggalan, pelbagai aktiviti keluarga turut disediakan termasuk Pertandingan Mewarna, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Silat Gayong, Demonstrasi Masakan Tradisional, Cabaran Batu Seremban, serta pertandingan Menghias Pulut Kuning. Festival dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.

Orang ramai, khususnya penduduk Lembah Klang, dijemput hadir merasai sendiri keunikan budaya dan keenakan sajian Pantai Timur apabila Festival Warisan Selera Timur berlangsung di Evo Mall Bangi pada 5 hingga 7 Disember 2025.

Penganjuran ini dikendalikan oleh A.M.A. Infinity Solution selaku pengurus acara rasmi, dalam usaha menjadikannya satu lagi kisah kejayaan buat Evo Mall Bangi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN