Bagi mereka yang mengikuti karya lagu hip-hop, pasti tahu bahawa ‘dunia’ itu sering dikaitkan dengan kebebasan ekspresi dan gaya hidup tanpa batas.
Kumpulan tempatan, K-Clique juga begitu, tidak lari daripada acuan yang sama sebagaimana penyanyi atau artis berkumpulan hip hop lain.
Bertemu mata dengan MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan baru-baru ini bagaimanapun menyaksikan ada perbezaan yang bakal dilakukan olehnya bersama anggota K-Clique lain.
Sebelum ini tampil dengan lagu-lagu berinti lantang, MK mengakui dirinya kini berada dalam fasa perubahan besar, bukan sahaja sebagai artis, tetapi juga sebagai individu yang semakin sedar tentang pengaruhnya terhadap generasi muda.
Bermula daripada penghasilan lirik yang pernah bersifat ‘raw’ dan berani, kini MK dan kumpulannya memilih jalan berbeza iaitu menghasilkan karya yang lebih matang, positif dan sarat mesej yang memberi impak.
Keputusan itu dibuat kerana menyedari pengaruh besar yang mereka miliki terutama dalam kalangan pendengar muda.
“Kalau boleh, selepas ini, kami tidak lagi mahu menghasilkan karya yang sekadar ‘fun’ atau sarat dengan lirik sensitif seperti sebelum ini.
“Pengalaman bertahun dalam industri serta peningkatan usia membuatkan kami semakin peka terhadap kesan sesuatu lagu terhadap pendengar.
“Kami dulu terlalu raw. Lagu-lagu kami banyak yang fun, bercerita, dan rap ikut vibe masa itu. Tetapi apabila fikir balik, ramai budak-budak ikut gaya kami, ikut lirik kami walaupun mungkin mereka tak faham.
“Dari situ saya sedar, kita sebenarnya bagi pengaruh besar kepada mereka,” jelasnya.
MK turut mengakui perubahan diri sebagai seorang bapa antara faktor utama yang membuatkan dia lebih berhati-hati.
“Mungkin sebab saya sekarang seorang ayah. Saya nak jadi contoh yang baik. Nanti bila anak saya besar dan dengar lagu ayah dia, biarlah dia bangga.
“Walaupun K-Clique pernah mencetus fenomena besar melalui lagu-lagu seperti Mimpi, saya akui kami kini lebih mengutamakan kualiti berbanding mengejar momentum populariti lama.
“Kami sepakat bukan sekadar nak hasilkan lagu untuk hiburan. Kami mahu orang boleh rasa, boleh berasa dekat dengan apa yang kami sampaikan,” ujarnya.
Selain itu, MK juga mengakui banyak lagu sebelum ini mengandungi lirik ‘double meaning’ dan isu sensitif, sesuatu yang kini tidak lagi mahu mereka ulangi.
“Saya tak nafikan, dulu memang banyak lirik yang sensitif. Tapi sekarang kami tak nak benda macam itu. Kami nak lagu yang beri sesuatu kepada pendengar.
“Tak tipu, rindu macam zaman kami hits dengan lagu Mimpi itu. Tapi itu zaman muda kami, zaman bebas keluar bila-bila tanpa limit. Sekarang kami lebih pentingkan kualiti. Itu kata sepakat semua,”katanya.
Selain muzik, MK juga berkongsi bahawa dirinya kini terlibat dengan sebuah projek filem yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.
“Buat masa sekarang, drama belum ada yang saya ambil. Tapi untuk syuting, Alhamdulillah saya dapat peluang untuk sebuah filem nanti insyaAllah.
“Ini bukanlah filem pertama, cuma sebelum ini saya hanya jadi cameo atau bawa watak-watak kecil. Kali ini wataknya lebih serius juga, masih dalam karakter tertentu, dan Alhamdulillah saya dapat sertai produksi yang memang saya tunggu-tunggu. Mungkin ini peluang dan rezeki.
“Kalau ditanya sama ada ini projek besar, saya hanya boleh kata Alhamdulillah. Belum masa untuk kongsikan lanjut lagi.
“Tentang fokus pula, saya tak spesifikkan sama ada nak lebih menyanyi atau berlakon. Apa peluang yang datang, itu yang saya buat. Kalau nanti ada projek lagu datang, saya fokus pada lagu dulu,”katanya.










