KUALA LUMPUR: Terkejut dengan dakwaan kononnya telah merujuk semula dengan bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu, dalam tempoh iddah, penyanyi, Adira Suhaimi bagaimanapun ada jawapan sendiri.
Pun begitu, penyanyi ini ketika dihubungi Utusan Malaysia, memberi kata ringkas mengenai isu yang dibangkitkan.
“Mengenai hal ini, ‘no comment’. Saya tak mahu komen apa-apa,”katanya.
Terdahulu, sebuah portal hiburan melaporkan hubungan Adira dan bekas suaminya yang turut dikenali sebagai Datuk Red itu kembali menjadi bualan apabila pasangan itu didakwa telah rujuk semula ketika masih dalam tempoh iddah.
Khabarnya rujuk tersebut dipercayai berlaku selepas perceraian mereka sebelum ini.
Difahamkan, Adnan baru sahaja memfailkan pengesahan rujuk tersebut dua hari lalu.
Lebih menguatkan dakwaan tersebut, permohonan pengesahan rujuk dikatakan telah difailkan di Mahkamah Syariah Gombak Barat dan tarikh sebutan dijadualkan berlangsung pada 20 Januari depan.
Bagaimanapun, setakat ini kedua-dua pihak masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan perkara berkenaan.
Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Namun, perkahwinan itu berakhir dengan perceraian pada 24 April tahun lalu, sekali gus mengejutkan ramai pihak memandangkan
hubungan mereka sebelum ini dilihat masih baik demi kebajikan anak-anak.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek,7, Asan,6, Anggun,5, dan Ayob,3.










