ADOR tamatkan kontrak Danielle New Jeans - Utusan Malaysia

ADOR tamatkan kontrak Danielle New Jeans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Agensi hiburan Korea Selatan, ADOR, mengumumkan penamatan kontrak secara rasmi terhadap anggota kumpulan K-pop popular, NewJeans, iaitu Danielle Marsh, berkuat kuasa hari ini.

Tidak lama selepas pengumuman itu, ADOR turut memaklumkan akan memfailkan saman terhadap penyanyi berdarah Korea–Australia itu atas dakwaan pelanggaran kontrak dan tindakan yang menjejaskan reputasi syarikat serta kumpulan tersebut.

Keputusan berkenaan dibuat susulan konflik perundangan berpanjangan antara ADOR dan ahli-ahli NewJeans sejak November 2024.

Menurut kenyataan ADOR, pihaknya mendapati Danielle tidak lagi sesuai untuk meneruskan kerjayanya sebagai artis di bawah NewJeans dan ADOR.

“Kami juga merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ADOR, Min Hee-jin serta seorang ahli keluarga Danielle yang memikul tanggungjawab besar dalam mencetuskan pertikaian ini dan melengahkan kepulangannya ke NewJeans,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut ADOR, Danielle didakwa melanggar kontrak eksklusif dengan menandatangani perjanjian bercanggah, menjalankan aktiviti hiburan secara bebas dan melakukan tindakan yang mencemarkan reputasi ADOR serta NewJeans.

“Walaupun diberi tempoh pembetulan, tiada tindakan diambil, menyebabkan notis penamatan kontrak dikeluarkan,” katanya.

ADOR turut memaklumkan bahawa penalti akan dikenakan berdasarkan formula yang telah dipersetujui dalam kontrak eksklusif.

Konflik tercetus apabila pada November 2024, semua ahli NewJeans menamatkan kontrak mereka secara sepihak dengan ADOR dengan alasan gangguan di tempat kerja serta pemecatan Min Hee-jin.

Selepas itu, kumpulan tersebut menjalankan pelbagai aktiviti bebas termasuk membuka akaun Instagram sendiri, memberi makanan percuma kepada penunjuk perasaan di Korea Selatan, menjenamakan semula kumpulan sebagai NJZ serta membuat persembahan di festival ComplexCon Hong Kong pada Mac lalu.

Pada Januari tahun ini, ADOR memfailkan injunksi bagi menghentikan semua aktiviti bebas NewJeans dan Mahkamah Daerah Pusat Seoul meluluskan permohonan tersebut pada 21 Mac.

Pada 30 Mei, mahkamah turut meluluskan perintah penguatkuasaan tidak langsung yang mewajibkan setiap ahli membayar denda sebanyak 1 bilion won (kira-kira RM3.4 juta) setiap kali mereka menjalankan aktiviti tanpa kebenaran ADOR.

Pada 30 Oktober pula, mahkamah memutuskan bahawa kontrak eksklusif ahli NewJeans dengan ADOR masih sah.

Walaupun sebelum ini NewJeans menyatakan mustahil untuk kembali kepada ADOR kerana kepercayaan yang telah musnah, kelima-lima ahli kemudiannya mengumumkan pada 12 November bahawa mereka bersetuju untuk kembali kepada agensi tersebut.

ADOR memaklumkan bahawa perbincangan mendalam telah diadakan dengan Minji, Hanni dan Danielle serta keluarga masing-masing.

Hanni dilaporkan bersetuju untuk meneruskan kerjaya bersama ADOR, manakala rundingan dengan Minji masih berlangsung.

Bagaimanapun, Danielle dimaklumkan secara rasmi mengenai penamatan kontraknya hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN