KUALA LUMPUR: Penyanyi rap popular, MK K-Clique mengakui kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih matang sejak bergelar bapa dan memilih untuk melindungi privasi anak perempuannya, Aya Rayana yang kini berusia setahun tiga bulan.
MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 29, meluahkan rasa syukur dengan kehidupan yang dinikmati hari ini, khususnya dalam aspek kerjaya dan keluarga yang disifatkannya sebagai satu anugerah besar.
“Saya sangat gembira dengan fasa yang saya lalui sekarang. Saya tak sangka akan berada di tahap ini dari segi perjalanan karier dan muzik.
“Kita tahu bagaimana keadaan saya dahulu, jadi Alhamdulillah saya sangat bersyukur, lebih-lebih lagi dengan adanya keluarga. Saya menikmati apa sahaja yang Allah SWT berikan,” katanya.
Mengulas tentang anak tunggalnya, MK berkata, dia tidak pernah menghalang peminat daripada merakam gambar anaknya ketika berada di tempat awam.
Malah kata MK, dia menghargai sikap peminat yang menghormati privasi keluarga kecilnya.
Menurutnya, kebanyakan peminat jarang memuat naik gambar anaknya di media sosial dan disifatkan sebagai satu bentuk kepekaan terhadap perasaannya sebagai seorang bapa.
“Saya tak tutup wajah anak bila bawa dia keluar. Saya okay kalau ada peminat ambil gambar.
“Alhamdulillah, mereka jarang kongsi di media sosial. Saya sendiri tak nampak gambar itu tersebar. Mungkin mereka tunggu saya kongsi dahulu,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Mimpi itu mengakui masih belum bersedia untuk mendedahkan wajah puteri kesayangannya di media sosial buat masa ini.
MK turut mengakui keputusannya itu antara lain didorong kebimbangan terhadap penyakit ain serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Boleh dikatakan begitu. Itu antara langkah untuk elak perkara tidak diingini.
“Di media sosial macam-macam pandangan orang. Sekarang pula ada teknologi AI, orang boleh buat apa sahaja,” ujarnya.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran mini album Asmara Dansa oleh penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa yang berlangsung di The Five, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Untuk rekod, MK mendirikan rumah tangga bersama Siti Hajaar pada 16 Jun 2023. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang lahir pada 3 Ogos tahun lalu.










