KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh, Lufya Omar memaklumkan telah menarik semula tuntutan nafkah anak yang difailkan terhadap bekas suaminya, Dr. Che Hafiz.
Lufya atau nama lengkapnya, Lutfyah Sheikh Omar, 40, berkata keputusan itu diambil kerana tidak mahu terus membuka aib sendiri apabila isu berkenaan dilihat tidak menemui jalan penyelesaian.
“Saya menarik diri daripada tuntutan nafkah anak kerana terlalu memalukan untuk terus bergaduh tentang perkara itu,” katanya.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di Instagram Story miliknya berserta foto dirinya bersama peguam di hadapan mahkamah.
Dalam masa sama, Lufya mengakui sudah penat berjuang sendirian sehingga memilih untuk ‘melepaskan’ bekas suaminya daripada tanggungjawab berkaitan nafkah anak.
“Fikirkanlah sedalamnya ketika awak berkata tidak mampu dan sanggup ‘berperang’ dengan saya habis-habisan.
“Tidak mengapa, saya sudah cukup bahagia untuk ‘melepaskan’ awak daripada tanggungjawab itu (nafkah),” katanya.
Malah, Lufya turut meluahkan perasaannya dengan menyatakan keyakinan bahawa setiap perbuatan akan terbalas di akhirat kelak.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada seseorang yang berhutang besar dengan saya di akhirat nanti. Semoga ibumu ini masuk syurga, Laana Haura kerana berjuang sendiri,” tulisnya.
Untuk rekod, Lufya dan Dr. Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 sebelum bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Laana Haura, yang kini berusia tujuh tahun.
Dr. Che Hafiz kemudiannya kembali bergelar suami apabila berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember 2022.










