KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, mengakui bahawa tabiat berbual ringan atau small talk yang dahulunya tidak digemarinya kini menjadi antara faktor penting yang mengubah kehidupan dan kerjayanya ke arah lebih positif.
Menurut Diana, sebelum ini dia sering berasa tidak selesa untuk menghadiri majlis atau acara sosial kerana menganggap perbualan ringan sebagai sesuatu yang membosankan dan tidak bermakna.
“Saya dulu tak suka pergi acara sebab tak tahu nak berbual apa.
“Rasa macam semua orang sekadar bercakap kosong. Tapi lama-lama saya sedar, setiap orang ada cerita hidup dan pengalaman yang kita boleh belajar,” katanya menerusi hantaran video di media sosial.
Diana berkata, perspektifnya mula berubah apabila dia menyedari bahawa perbualan santai sebenarnya mampu membuka ruang untuk membina hubungan yang tulen dan bermakna.
Salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika terlibat dalam sebuah acara memasak, di mana dia berkenalan dengan sepasang suami isteri yang akhirnya menjemputnya berkunjung ke Terengganu.
“Masa tu saya terkejut sebab hanya melalui perbualan ringkas, saya boleh kenal kehidupan orang lain dengan lebih dekat.
“Mereka jemput saya ke rumah kampung mereka di Terengganu. Dari situ saya faham, hubungan ini bukan sekadar kenalan sementara,” katanya.
Menurut Diana, kemahiran berbual ringan itu bukan sahaja membantunya membina persahabatan, malah membuka lebih banyak peluang kerjaya.
“Lama-lama ada orang mula cadangkan nama saya kepada klien untuk projek. Banyak pintu rezeki terbuka hanya sebab kita kenal orang dan jaga hubungan,” jelasnya.
Lebih menarik, Diana turut berkongsi bagaimana perbualan santai telah membuka matanya tentang isu sosial, termasuk membantu golongan kurang upaya mental dan individu dalam spektrum autisme.
“Saya pernah berjumpa dengan pasangan yang melatih individu berkeperluan khas untuk masuk ke alam pekerjaan.
“Dari situ saya terfikir untuk anjurkan program memasak bersama peminat dan golongan autisme. Bukan sekadar berkongsi minat, tapi juga bina kesedaran,” katanya.
Diana menegaskan bahawa small talk bukan sekadar perbualan kosong, sebaliknya satu jambatan untuk membina hubungan dan memahami kehidupan orang lain.
“Ia bukan tentang menunjuk-nunjuk. Ia tentang bina hubungan dan cari perkara yang kita boleh kaitkan bersama. Dari situ, hidup saya berubah jadi lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Diana berharap orang ramai tidak memandang rendah perbualan ringan kerana ia adalah satu kemahiran penting dalam kehidupan.
“Jangan pandang rendah perbualan ringan. Dari situlah bermulanya persahabatan, peluang dan pembelajaran dalam hidup,” katanya.










