KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pencipta lagu, Wans Ahmad mengakui dia bukan dalam kalangan artis yang kerap melancarkan single baharu kerana lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti dalam setiap penghasilan karya.
Menurut Wans, setiap kali merancang untuk melancarkan sesebuah lagu, dia akan memastikan lirik dan melodi dihasilkan dengan sehabis baik kerana mempunyai tahap ketelitian yang tinggi ketika menulis serta menggubah lagu.
Wans berkata, sikap telitinya itu membuatkan proses penghasilan lagu mengambil masa yang lama, sekali gus menyebabkan dia jarang tampil dengan karya baharu meskipun memiliki banyak lagu yang telah siap dicipta dan disimpan.
Dia turut mengakui tidak semua orang mengetahui bahawa dirinya bukan sahaja aktif dalam dunia lakonan dan pengacaraan, malah merupakan seorang penyanyi, penulis lirik dan pencipta lagu.
“Ramai mungkin tidak tahu saya sebenarnya penyanyi, penulis lirik dan pencipta lagu.
“Mungkin kerana saya terlibat dengan pelbagai kerja seperti lakonan dan pengacaraan yang membuatkan saya tidak terlalu konsisten dalam muzik,” katanya.
Sepanjang penglibatannya dalam industri muzik, Wans telah menghasilkan dan menyanyikan beberapa lagu sendiri termasuk Terus Mencintaimu, Sayangku, Makhluk Jalang Terbuang dan Bulanku.
Selain itu, Wans juga pernah mencipta lagu untuk penyanyi lain, antaranya Sampai Bila dan Terpatri Cinta, yang mendapat perhatian pendengar dan pemain industri.
Wans menambah, dia turut menghasilkan sebuah lagu korporat berjudul Bangkit yang dicipta khas untuk kegunaan sebuah syarikat, sekali gus membuktikan kebolehannya dalam menghasilkan karya untuk pelbagai tujuan.
Ketika ini, Wans sedang membuat perancangan untuk melancarkan lagu terbaharu apabila proses rakaman telah pun selesai sepenuhnya, namun dia masih dalam peringkat akhir bagi menentukan lagu mana yang akan diperdengarkan terlebih dahulu kepada peminat.
“Dua judul sedang dipertimbangkan iaitu Syurgaku yang mengisahkan seorang anak perantau pulang ke pangkuan ibunya di kampung halaman, atau Jangan Coba-Coba, sebuah lagu berunsur mesej khas buat pasangan agar tidak berani berlaku curang.
“Semuanya sudah selesai dirakam. Cuma saya masih mempertimbangkan lagu mana yang sesuai untuk dipersembahkan kepada pendengar terlebih dahulu,” katanya.











