Pengalaman di Mekah benar-benar mengubah diri saya - Malia Baby - Utusan Malaysia

Pengalaman di Mekah benar-benar mengubah diri saya – Malia Baby

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Malia Baby berkongsi kisah menyentuh hati mengenai pengalaman peribadinya sepanjang mengerjakan ibadah di Tanah Suci baru-baru ini yang disifatkan sebagai perjalanan penuh ujian serta hikmah.

Menurut Malia, perjalanan rohaninya itu bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, sebaliknya satu detik pengajaran yang mengubah caranya melihat kehidupan serta diri sendiri.

“Perjalanan saya ke Tanah Suci sukar benar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Ia bukan sekadar sebuah perjalanan atau ibadah biasa.

“Ia adalah kisah magis yang sarat hikmah dan benar-benar mengubah saya,” katanya.

Tambahnya, setiap jemaah yang berada di Mekah pasti melalui ujian yang berbeza, namun dugaan yang ditempuhinya bersifat sangat peribadi dan tidak pernah terlintas di fikiran.

“Ada yang diuji dengan kesabaran dan kepenatan. Bagi saya, Allah hadirkan ujian yang perlahan-lahan membentuk semula bagaimana saya melihat iman, kehidupan dan diri sendiri,” ujarnya.

Malia mengakui bahawa mudah bagi seseorang untuk menasihati orang lain agar sentiasa berbaik sangka kepada Allah.

Namun katanya, apabila berdepan ujian diri sendiri, ia bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang dilafazkan.

“Apabila kita sendiri berdiri di situ—hati yang letih, doa terasa tidak berjawab—barulah kita sedar bahawa kata-kata itu bukan semudah yang disangka,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, keindahan perjalanan itu terletak pada cara Allah mendidik hamba-Nya, bukan hanya melalui nikmat tetapi juga melalui saat yang mematahkan agar iman tumbuh lebih kukuh.

“Ya, perjalanan ini tidak sempurna. Tetapi inilah kisah yang Allah tuliskan untuk saya, dengan pengajaran tersendiri. Saya berharap perkongsian ini dapat menjadi peringatan buat yang lain,” jelasnya.

Mengakhiri coretan, Malia Baby menyatakan rasa syukur kerana diberi peluang ke Tanah Suci dan berdoa agar dapat kembali ke sana pada masa akan datang dengan hati yang lebih kuat serta yakin dalam menerima apa jua ketentuan Ilahi.

“Tanah Suci akan sentiasa ada ruang istimewa dalam hati saya. Semoga doa kalian mengiringi saya untuk kembali lagi suatu hari nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN