KUALA LUMPUR: Pengacara dan pempengaruh, Nadia Annuar, 42, meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir individu yang membuat panggilan telefon berulang kali tanpa mengambil kira keadaan penerima.
Menurut Nadia, dalam era teknologi digital masa kini, penggunaan telefon pintar seharusnya disertai dengan adab dan kefahaman terhadap privasi individu.
“Jika saya tidak menjawab panggilan pertama, itu bermaksud saya sedang sibuk. Jika panggilan kedua pun tidak dijawab, itu masih bermaksud saya sibuk.
“Menelefon berkali-kali tidak akan membuatkan saya terus jawab,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Jelas Nadia, terdapat pelbagai keadaan yang menyebabkan seseorang tidak dapat menjawab panggilan.
Nadia memberikan contoh seperti berada di tandas, sedang makan, melakukan urusan penting atau berada dalam situasi yang tidak mengizinkan penggunaan telefon.
Tambah Nadia, mana-mana panggilan yang tidak dijawab akan direkodkan sebagai panggilan tidak berjawab, dan dia pasti akan menghubungi semula apabila mempunyai kelapangan.
“Saya pasti akan hubungi semula. Jadi, tidak perlu menelefon sehingga berkali-kali,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Nadia berkata, panggilan berulang kali hanya boleh diterima sekiranya melibatkan situasi kecemasan.
“Kalau betul-betul kecemasan, telefon sekali pun sudah memadai. Saya pasti akan hubungi semula,” katanya.










