Masih wujud rasisme dalam industri perfileman antarabangsa - Michelle Yeoh

Masih wujud rasisme dalam industri perfileman antarabangsa – Michelle Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, mendedahkan bahawa amalan rasisme terhadap orang Asia masih wujud dalam industri perfileman di Amerika Syarikat (AS) meskipun dunia hiburan itu sering digambarkan sebagai semakin terbuka dan inklusif.

Michelle, 63, berkata dia sejak kecil dibesarkan dengan budaya ‘dilihat tetapi tidak didengar’, satu bentuk disiplin yang menurutnya lazim dalam kalangan keluarga Asia, khususnya terhadap anak perempuan.

Namun, pengalaman memecah dominasi Hollywood membuka ruang kepadanya untuk melihat sendiri bahawa prasangka terhadap pelakon Asia masih berakar.

Menurut pemenang Oscar itu, walaupun kedudukannya kini menyebabkan sesetengah pihak lebih berhati-hati, rasisme secara terselindung masih berlaku.

Katanya, ia termasuk pertanyaan berbaur prejudis mengenai kehadiran orang Asia dalam ruang seni yang didominasi orang berkulit putih.

“Saya akan berbohong jika saya kata tidak. Lima tahun lalu pun masih ada yang mempersoalkan, ‘apa orang Asia buat di sini?’,” katanya.

Michelle turut menegaskan bahawa insiden kebencian terhadap komuniti Asia di AS masih membimbangkan, termasuk serangan terhadap wanita Asia warga emas serta kes buli melibatkan kanak-kanak keturunan Asia.

Situasi itu jelas menunjukkan bahawa masyarakat Asia masih menjadi sasaran diskriminasi, sama ada di jalanan mahupun dalam industri filem.

“Masih ada wanita Asia yang lebih berusia ditumbuk tanpa sebab ketika berjalan. Kanak-kanak lelaki dan perempuan Asia pula diganggu hanya kerana mereka Asia.

“Saya masih tidak faham mengapa perkara ini terus berlaku,” ujarnya.

Dia berkata mesej utama dalam filem terbaharunya, Wicked, mengetengahkan kepentingan menerima perbezaan sebagai sesuatu yang harus dihargai, bukan dihukum.

Jelasnya, dunia kini memerlukan lebih banyak sifat belas kasihan dan tindakan kecil yang mampu membawa perubahan besar.

“Kita semua berbeza dan salah satu sifat paling buruk manusia ialah suka menghukum dan berasa diri lebih baik daripada orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN