KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan mengeksploitasi haiwan susulan penularan sebuah video yang memaparkan dirinya seolah-olah mahu menjual kucing peliharaannya.
Menurut Aliff, rakaman tersebut hanyalah gurauan spontan dan kandungan hiburan semata-mata yang tidak seharusnya diperbesarkan oleh netizen.
Menurutnya, dia sememangnya seorang pencinta kucing dan tidak pernah berniat untuk mengabaikan atau memudaratkan haiwan berkenaan.
“Saya memang suka kucing. Di rumah ada kucing yang sedang mengandung. Cuma saya bergurau dengan bertanya siapa mahu beli. Itu saja, tetapi sudah dianggap serius.
“Perkara kecil seperti ini pun boleh jadi tular,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran tiga orang anaknya di The Window Restaurant, Royale Chulan The Curve, Damansara,semalam.
Mengulas lanjut, Aliff berkata, video yang dimuat naik itu merupakan rakaman spontan bagi tujuan kandungan di media sosial dan tidak menyangka ia akan mengundang kecaman orang ramai sehingga memaksanya memadam video berkenaan.
“Saya terlalu sibuk dan hanya sempat menghasilkan kandungan secara ringkas. Niat saya sekadar menghiburkan, bukan untuk menyinggung mana-mana pihak.
“Namun saya ambil pengajaran daripada perkara ini dan memilih untuk memadam video tersebut,” katanya.
Isterinya, Datin Seri Nur Shahida, turut tampil mempertahankan suaminya dengan menegaskan bahawa Aliff tidak pernah berniat untuk menjual kucing berkenaan.
Katanya, kucing itu juga dipelihara dengan baik oleh anak mereka, Qadejah El Zahra yang bertanggungjawab menjaga kebajikan haiwan tersebut.
“Semua itu hanya gurauan. Aliff memang begitu dari dahulu. Kucing itu dijaga dengan baik dan menjadi kesayangan keluarga,” katanya.
Terdahulu, video berkenaan menjadi tular di aplikasi Threads dan mengundang pelbagai reaksi selepas dia didakwa menyebut kucing tersebut menggunakan kata-kata yang dianggap menghina sehingga ada pihak menuduhnya mengeksploitasi haiwan.










