Konsert Dolla pada 6 Disember dibatalkan - Utusan Malaysia

Konsert Dolla pada 6 Disember dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsert Dolla Good Girls Gone Bad Live in Concert yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena pada 6 Disember depan sah dibatalkan oleh penganjur, Sah Entertainment, bersama syarikat rakaman Universal Music.

Pengarah Sah Entertainment, Sufie Rashid berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menilai tempoh persiapan yang terhad serta beberapa faktor lain yang melibatkan aspek keselamatan, teknikal dan operasi acara.

“Selepas menilai keseluruhan garis masa persiapan, termasuk kelulusan yang diperlukan serta persediaan teknikal, kami mendapati persiapan akhir tidak dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan.

“Meneruskan acara dalam keadaan yang tidak menentu boleh membawa risiko, termasuk kemungkinan gangguan pada saat akhir yang akan menjejaskan pengalaman pemegang tiket,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Sufi, keutamaan penganjur adalah keselamatan artis, kru, pasukan venue dan penonton, selain memastikan kualiti persembahan berada pada tahap terbaik.

“Kami tidak mahu menyampaikan persembahan yang kurang daripada standard yang sepatutnya untuk kumpulan Dolla dan para peminat.

“Selepas perbincangan serta penilaian risiko, kami memutuskan untuk tidak meneruskan acara mengikut garis masa sedia ada. Semua pemulangan wang (refund) akan diproses segera,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan membatalkan konsert bukanlah sesuatu yang mudah, namun perlu dibuat demi kepentingan semua pihak.

“Kami memahami kekecewaan para peminat Dolla, khususnya iDolla, yang telah menaruh harapan tinggi terhadap konsert ini.

“Namun, komitmen kami adalah memastikan pengalaman yang selamat dan sempurna buat semua,” katanya.

Kim memaklumkan, semua pemegang tiket akan menerima pemulangan wang penuh yang akan diproses secara automatik melalui kaedah pembayaran asal.

Sebelum ini, kumpulan Dolla menjadi perhatian umum susulan teguran pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun terhadap penampilan Sabronzo, Tabby dan Angel dalam video muzik terbaharu mereka berjudul Question yang didakwa terlalu mencolok mata.

Isu itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang memaklumkan sedang meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti Islam yang berpakaian tidak sopan, selain mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian artis Muslim.

Universal Music Malaysia turut menyatakan pihaknya mengambil maklum kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan berkenaan yang dianggap tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN