KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penghibur, Kelly Azman meluahkan kekecewaan apabila mendakwa hasil kerjanya menyanyikan lagu-lagu saduran (cover) di media sosial tidak dihargai sebilangan warganet.
Menurut Kelly, usaha menghasilkan kandungan berkualiti termasuk rakaman lagu dan pembikinan video muzik memerlukan komitmen tinggi serta kos yang besar, namun sering menjadi sasaran kecaman netizen yang mempertikaikan usahanya.
“Apabila sudah muat naik di YouTube dan media sosial, ada pula yang komen negatif. Mereka persoalkan kenapa perlu rakam jauh-jauh, contohnya macam lagu cover Break nyanyian asal Misha Omar yang baharu sahaja saya hasilkan.
“Saya hasilkan di Jakarta. Ada yang tanya kenapa buat video muzik dan sebagainya. Saya rasa itu tidak adil sebab ini hasil usaha saya sendiri,” katanya.
Tambah Kelly, sehingga kini dia telah menghasilkan sebanyak 13 buah lagu saduran dan menyasarkan untuk melengkapkan 14 lagu cover bagi tahun ini sebagai sebahagian daripada projek peribadinya untuk mengembangkan bakat dan meningkatkan kualiti kerja seni.
Kelly turut menyatakan bahawa dirinya antara artis tempatan terawal yang menghasilkan lagu saduran lengkap dengan konsep dan klip video profesional.
“Saya buat ini dengan sepenuh hati. Walaupun tidak semua akan menghargai, saya tahu pasti ada yang setia menyokong. Itu sudah cukup untuk buat saya terus kuat,” ujarnya.
Dalam masa sama, Kelly mengakui menerima sokongan yang sangat positif daripada rakan-rakan selebriti seperti Shamir, Ernie Zakri, Nadira, Hylsa, Dayang Nurfaizah dan Siti Nurhaliza, yang sering memberikan kata-kata semangat.
Kelly turut berkongsi perancangannya untuk mengakhiri projek lagu saduran tahun ini dengan cover lagu nyanyian Shamir sebelum tampil dengan single original berjudul “Megamoman” yang dijadualkan dilancarkan pada awal tahun hadapan.
Kelly berharap karya asli itu mampu mendapat perhatian dan seterusnya menembusi pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu hari nanti.










