Kumpulan gadis sensasi Malaysia, Dolla, kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul “Question”, sebuah karya pop penuh emosi yang menggabungkan tema konfrontasi, kejujuran dan kekuatan diri selepas kekecewaan.
Pada pendengaran pertama, Question mungkin kedengaran seperti kisah berdepan pasangan curang, namun di sebalik permukaannya lagu ini membawa makna yang lebih mendalam iaitu tentang keberanian menghadapi kesakitan dan kelemahan diri selepas dikhianati.
Menurut Tabby, salah seorang anggota Dolla, lagu ini bukan sekadar tentang pasangan curang, tetapi lebih kepada proses berdamai dengan perasaan sendiri.
“Ia tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan jujur dengan emosi sendiri tanpa menyembunyikannya,” katanya.
Lagu ini ditulis bersama Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, serta ahli Dolla sendiri iaitu Tabby, Sabronzo, dan Angel. Ia menggabungkan penceritaan lirik yang kuat dengan melodi mudah diingati, mempamerkan kematangan muzik dan emosi kumpulan ini yang semakin berkembang sejak kemunculan mereka beberapa tahun lalu.
Di samping itu, Dolla mengakui menerima demo awal lagu ini daripada Kuizz dan Justin dengan bahagian korus yang “sangat catchy”. Proses rakaman dan penyusunan semula dilakukan dengan teliti bagi memastikan lirik serta emosi yang ingin disampaikan benar-benar dirasai pendengar.
Selain itu, Question turut hadir dengan muzik video berkonsepkan diner retro yang dirakam di The Campus, Ampang. Visual tersebut menonjolkan sisi baharu Dolla yang lebih matang tetapi masih kekal berani dan bergaya.
Kumpulan itu juga bekerjasama dengan koreografer berbakat dari Thailand, Akkaraphol Prompen, bagi menghasilkan gerak tari bertenaga dan padat dengan unsur keseronokan.
Menurut Angel, penggambaran video kali ini antara yang paling mencabar kerana perlu dilakukan di luar waktu rehat dengan jadual padat.
“Walaupun penat, kami seronok sebab kali ni ada pelakon lelaki yang memainkan watak teman lelaki curang. Ia menunjukkan sisi kami yang matang yang bukan hanya berdepan pengkhianatan, tapi konfrontasi dengan diri sendiri,” katanya.
Dolla turut berkongsi bahawa mereka kini bersedia melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran album penuh pada tahun 2026 serta rancangan untuk mengembangkan kehadiran muzik mereka ke seluruh Asia Tenggara.
Sebelum itu, peminat boleh menyaksikan mereka secara langsung dalam konsert “Good Girls Gone Bad” yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember 2025.










