KUALA LUMPUR: Penyanyi, Linda Rafar membuat keputusan untuk terus kekal bersama kumpulan Elite selepas sebelum ini memberi bayangan mahu menarik diri daripada kumpulan berkenaan.
Linda atau Azlinda Abdul Rafar, 47, menzahirkan rasa syukur atas keputusan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.
“Terima kasih Allah SWT dan semua yang mendoakan Linda terus kekal bersama kumpulan Elite,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.
Menurut Linda, penerbit dan anggota KRU, Norman Abdul Halim menjadi individu yang paling banyak memujuknya agar tidak terburu-buru membuat keputusan.
Katanya, sejak awal pembabitannya dalam industri seni, Norman merupakan tempatnya bergantung setiap kali berdepan masalah.
“Perkenalan Linda dengan Norman sejak 1995, sudah 30 tahun. Keputusan yang saya buat sebelum ini bukan perkara mudah.
“Puas dan penat juga abang long memujuk. Sejak umur 16 tahun lagi, kalau ada masalah, dialah yang berjaya tenangkan saya.
“Maklumlah dalam Elite, sayalah yang paling muda dan paling manja,” katanya.
Tambah Linda, sifat sensitif yang dimilikinya sejak remaja menyebabkan dia mudah terasa namun cepat memaafkan.
“Sampai sekarang tak hilang naluri sensitif itu. Cepat terasa tapi mudah memaafkan. Terima kasih kepada Sasha, Watie dan Azza yang menemani sesi memujuk,” ujarnya.
Pada 29 Oktober lalu, Linda mengejutkan peminat apabila memaklumkan di Threads bahawa dia mempertimbangkan untuk meninggalkan Elite selepas terkesan dengan pelbagai kecaman netizen, termasuk komen negatif mempertikaikan kehadirannya dalam kumpulan tersebut.
Katanya, komen-komen sedemikian menjejaskan kesihatan mental sehingga mendorongnya memikirkan untuk berundur daripada Elite sebelum akhirnya menarik balik keputusan tersebut.










