KUALA LUMPUR: Penyampai radio Fly FM, Haniff Hamzah, akhirnya tampil menjernihkan keadaan berhubung insiden dirinya dihalang berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.
Menurut Haniff, kekeliruan itu berpunca daripada isu cukai melibatkan sebuah syarikat miliknya yang tidak diisytiharkan selama beberapa tahun.
Jelasnya, sebaik dimaklumkan tidak boleh meneruskan perjalanan, dirinya sendiri bingung kerana tidak mengetahui punca sebenar.
“Saya pun tak faham pada mulanya. Di pejabat imigresen, mereka beritahu LHDN kata saya tidak membayar cukai. Baru saya sedar ia merujuk kepada cukai syarikat lama saya,” katanya.
Haniff menjelaskan, walaupun cukai pendapatan peribadinya sentiasa diuruskan, Haniff mengakui terlepas pandang aspek percukaian syarikat yang ditubuhkan sekitar lapan tahun lalu.
Katanya, ketika tempoh pandemik, syarikat itu hampir tidak beroperasi, menyebabkan beberapa urusan penting termasuk pengisytiharan keuntungan dan kerugian tertangguh hampir tiga tahun.
“Cukai peribadi saya memang selesai setiap tahun. Tapi saya tak sedar cukai syarikat saya tertinggal.
“Masa pandemik, syarikat itu hampir ‘tutup’, jadi beberapa perkara saya abaikan,” ujarnya.
Disebabkan kegagalan mengemukakan laporan syarikat, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan anggaran cukai mencecah enam angka, jauh lebih tinggi berbanding keuntungan sebenar syarikat berkenaan.
Untuk membolehkannya meneruskan perjalanan, Haniff berkata dia diminta menjelaskan bayaran segera berjumlah lima angka.
“Syarikat saya tak pernah pun untung sebesar itu. Untuk saya lepas ketika itu, saya perlu bayar lima angka. Saya memang tak mampu, dan pada masa sama, pintu pun sudah ditutup,” katanya lagi.
Terdahulu, Fly FM dalam satu kenyataan mengesahkan Haniff ditahan ketika ingin berangkat ke luar negara dan diminta menjalani sesi soal siasat sebelum dimaklumkan dia tidak dibenarkan meninggalkan negara.
Akibat insiden tersebut, projek travel siri Fly FM, EH! 48H in Singapore, terpaksa dibatalkan.










