Bukan batal, Konsert Exists Premium Live@PJ ditunda 20 Disember - Utusan Malaysia

Bukan batal, Konsert Exists Premium Live@PJ ditunda 20 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ yang dijadual berlangsung pada 4 Oktober telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu pada 20 Disember 2025 selepas mendapat persetujuan bersama antara kumpulan Exists dan penganjur, JioBuddy.

Konsert itu bagaimanapun akan tetap berlangsung di lokasi dan waktu yang sama selain menyaksikan ia sebagai acara penutup tahun 2025 buat Exists yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad.

Pengarah JioBuddy, Sean Ng, berkata, penundaan dibuat bagi memastikan konsert tersebut benar-benar menepati konsep premium dan eksklusif.

“Dengan rendah hati kami di JioBuddy menyampaikan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu 20 Disember 2025, di lokasi dan waktu yang sama.

“Penundaan ini adalah kesepakatan bersama Exists supaya konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi bersifat premium dan eksklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

JioBuddy turut memaklumkan penundaan itu bukan pembatalan, sebaliknya bertujuan memberi pengalaman lebih bermakna kepada peminat.

Vokalis Exists, Ezad, berkata, penundaan memberi ruang kepada kumpulan itu membuat persiapan teknikal yang lebih rapi.

“Kami mahu pesona mewah yang ingin disampaikan menjadi momen tidak dilupakan peminat.

“Konsert kali ini juga akan menjadi lebih ‘intimate’ , lebih dekat dan lebih up close and personal kepada peminat,” katanya.

Selain itu, Ajai pula berkata elemen sentimental itu belum pernah dilakukan dalam konsert mereka sebelum ini.

“Kami mahu peminat merasai makna premium melalui rasa dan nilai sentimental bersama Exists pada malam tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, lebih istimewa, Exists turut menyediakan dua hadiah utama kepada peminat bertuah.

Menurut Ujang, sebuah gitar akustik milik Along jenama Manuel Rodriguez dari Sepanyol akan dihadiahkan. Gitar itu pernah digunakan untuk rakaman lagu Setanggi Syurga (Inteam), Salam Rindu (Fathi Naim) serta persembahan Studio Kool sempena promosi Konsert Exists Reunion 2019.

Selain itu, dengan kerjasama JS Music, satu set dram PDP CenterStage 5-Pc Drum Kit with Evans Drumheads dan Promark Sticks turut akan diberikan.

“Untuk jadi pemenang, anda harus ikuti sampai ke pentas JioSpace 20 Disember nanti,” kata Ujang.

Sementara itu, untuk info, peluang cabutan bertuah adalah seperti berikut iaitu, 3 kali peluang untuk pembeli tiket Premium, 2 kali peluang untuk pembeli tiket VIP serta satu kali peluang untuk pembeli tiket Diamond.

Sebanyak 100 peminat bertuah turut berpeluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota Exists.

Tiket dijual pada harga, Premium RM588, VIP RM488 dan Diamond RM368.

Pembelian boleh dibuat melalui www.jiotix.asia atau talian hotline +6011 1660 1122 (khusus untuk peminat OKU).

Tiket kategori Diamond yang laris turut ditambah jumlah dan status terkini boleh dirujuk di media sosial. Tiket yang telah dibeli masih sah untuk tarikh baharu.

Sebarang pertanyaan tiket boleh e-mel kepada [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN