KUALA LUMPUR: Penyanyi, Irene Catalina, kembali mewarnai industri hiburan tempatan selepas lapan tahun menyepi, sekali gus membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk terus berkarya dalam dunia seni.
Bekas anggota kumpulan Angels yang popular sekitar tahun 2004 itu menegaskan, pada usia 47 tahun, dia kini melihat kematangan sebagai satu kelebihan yang membezakan dirinya dengan penyanyi generasi baharu.
Menurut Irene, penampilannya menerusi genre pop dance yang disuntik elemen hip-hop era 90-an menjadi identiti tersendiri yang jarang diketengahkan oleh artis seusianya.
“Saya rasa lain daripada yang lain sebab saya sudah berumur, tapi saya membawa lagu yang bertenaga. Usia 47 tahun itu sendiri menjadi satu kelebihan untuk saya,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh lama menyepi, Irene menjelaskan, ia bukan berpunca daripada kekecewaan terhadap industri hiburan, sebaliknya lebih tertumpu kepada kerjaya di belakang tabir.
“Saya tidak pernah merajuk dengan industri. Sepanjang tempoh itu saya aktif dalam kerja pengurusan acara dan turut menggalas tugas sebagai pengurus pemasaran.
“Dalam masa sama, saya masih menerima undangan menyanyi di majlis-majlis korporat sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya.
Yakin perjalanan seninya masih panjang, Irene kini tampil dengan single terbaharu berjudul Mau Apa Lagi, ciptaan Bendittho yang mengetengahkan konsep pop dance dengan elemen hip-hop 90-an, sekali gus mengembalikan aura ‘groove’ dan ‘street style’ era tersebut dalam susunan moden.
“Saya sudah bersedia menerima kritikan dan kecaman kerana bagi saya, seni tidak mengenal batas usia. Saya juga bersedia menghadapi persaingan dalam industri,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan menggunakan gimik sebagai strategi promosi, Irene mengakui perkara tersebut perlu dipertimbangkan memandangkan persaingan kini semakin sengit dengan kehadiran ramai bakat baharu yang lebih muda.
“Kalau boleh, saya mahu elakkan gimik yang tidak perlu. Namun, jika satu hari nanti ia menjadi keperluan, saya akan pertimbangkan.
“Bukan mudah untuk bersaing dengan bakat-bakat baharu sekarang,” jelasnya.










