Bantu masyarakat, selebriti juga adalah 'frontliner' - Saiful Apek - Utusan Malaysia

Bantu masyarakat, selebriti juga adalah ‘frontliner’ – Saiful Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Saiful Apek,56, menegaskan, peranan artis dan selebriti bukan sekadar penghibur semata-mata, sebaliknya boleh dianggap sebagai ‘frontliner’ dalam usaha membantu masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

Menurut Saiful atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, pengaruh besar yang dimiliki golongan selebriti seharusnya dimanfaatkan untuk menggerakkan kesedaran dan menyemarakkan semangat kemanusiaan dalam kalangan orang ramai.

“Apabila saya terlibat dengan program-program kebajikan dengan yang terbaharu adalah menerusi tugas sebagai duta pertubuhan kebajikan Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT), saya nampak sebenarnya artis pun boleh terlibat sama dalam memberi semangat kepada mereka.

“Pada saya, memang itu salah satu peranan kita sebagai selebriti. Saya rasa kita ini ‘frontliner’, memang kena ada benda-benda macam ini. Saya tak rasa rugi pun,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Saiful berkata, keterlibatan artis dalam isu-isu kemanusiaan terbukti berkesan, termasuk dalam kempen kesedaran seperti boikot barangan berkaitan Israel bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Apabila figura awam terutamanya, contohnya kita tengok dari sudut boikot Israel untuk sokong Palestin, saya tengok memang sangat efisyen, sangat efektif,” ujarnya.

Bagaimanapun, Saiful turut mengingatkan agar penglibatan selebriti dalam aktiviti kemasyarakatan tidak bersifat bermusim atau hanya muncul ketika kepentingan tertentu seperti pilihan raya misalnya.

Namun begitu, Saiful percaya ramai dalam kalangan artis yang ikhlas membantu tanpa mengharapkan imbuhan.

“Ada sahaja yang nak bantu dan rasa, ‘Aku beri sumbangan sahaja , aku tak kisah. Dia bagi aku token berapa pun aku tak kisah, aku cuma nak turun padang.’ Dan saya tengok memang ramai.

“Ada juga artis-artis yang pergi beri sokongan dengan kudrat dan kewangan, tapi mereka pergi sendiri, diam-diam.Bagi saya, dua-dua cara itu tak kisah. Dan kadang-kadang ada juga yang cuba merahsiakan tindakan mereka itu sebab risau warganet yang cuba nak reflek perkara-perkara negatif.

“Bagaimanapun, saya rasa inilah tugas artis macam saya dihujung-hujung ini, selagi kita masih sihat orang kata kita bantu dan mainkan peranan pada tujuan yang baik,”katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KDT, Muhammad Zul Fikri Suhaimi turut mengakui kepentingan peranan personaliti berpengaruh sangat efektif dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap kerja-kerja kebajikan yang dijalankan pertubuhan itu.

Menurut Zul Fikri, KDT yang berusia sekitar tiga hingga empat tahun tidak mungkin dapat dikenali dengan pantas tanpa sokongan golongan berpengaruh yang membantu menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Zul Fikri turut menjelaskan bahawa agihan bantuan yang dianjurkan hari ini melibatkan seramai 300 keluarga daripada golongan asnaf dan mualaf, hasil kerjasama strategik dengan beberapa buah masjid di sekitar Subang.

“Perancangan program ini telah dibuat sejak dua bulan lalu. Masjid-masjid kariah membantu kami menyaring penerima yang benar-benar layak kerana mereka lebih mengenali komuniti setempat.

“Selain itu, bantuan yang disalurkan merangkumi barangan keperluan asas dan baucar bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian barangan kering dan basah dalam tempoh tiga bulan di pasaraya Mydin,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Zul Fikri memaklumkan bahawa KDT turut melaksanakan program bantuan kepada masyarakat Orang Asli dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) selain sokongan berterusan daripada individu dan syarikat korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Alhamdulillah, kepercayaan yang diberikan kepada KDT menjadi pemangkin untuk kami terus memperluaskan bantuan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN