Artis seberang boleh dibayar cecah RM40,000, artis kita harga rendah - Ariff Bahran - Utusan Malaysia

Artis seberang boleh dibayar cecah RM40,000, artis kita harga rendah – Ariff Bahran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ariff Bahran, meluahkan rasa kesal apabila kenyataannya mengenai tawaran bayaran RM1,400 bagi satu persembahan disalah tafsir oleh segelintir pihak.

Menurut Ariff, kenyataan yang tular sebelum ini bukan bertujuan untuk merendahkan nilai bayaran tersebut, sebaliknya dia bercakap bagi pihak rakan-rakan artis tempatan yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada bidang nyanyian.

“Ramai yang salah faham apa saya maksudkan. RM1,400 itu saya tolak kerana ketika ini saya sedang memberi tumpuan kepada perniagaan lain.

“Tetapi saya bercakap bagi pihak kawan-kawan saya, penyanyi yang menjadikan seni sebagai sumber rezeki utama,” jelasnya.

Tambah Ariff, jumlah bayaran berkenaan dianggap tidak berbaloi bagi penggiat seni yang mungkin hanya menerima satu atau dua tawaran persembahan dalam tempoh beberapa bulan.

“Mereka pun ada nilai dan maruah sebagai anak seni. Kalau mereka terima bayaran RM1,400 hari ini, mungkin itulah satu-satunya persembahan untuk dua atau tiga bulan. Kita pun tak tahu,” katanya.

Ariff turut meluahkan rasa kecewa apabila mendapati ada segelintir penganjur yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit kepada artis luar negara, namun menawar bayaran yang terlalu rendah kepada artis tempatan.

“Artis seberang boleh dibayar sampai RM30,000 atau RM40,000, tapi artis tempatan kita kadang-kadang ditawar jumlah yang terlalu rendah. Adilkah begitu?” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebelum ini terdapat rakan-rakan artis yang menerima bayaran sehingga RM15,000 hingga RM30,000 bagi satu persembahan.

Bagaimanapun, katanya, kini ramai terpaksa menerima tawaran sekitar RM3,000 atau RM4,000 demi kelangsungan hidup.

“Dulu rate kawan-kawan saya RM15,000 ke RM30,000 pun ada, tapi sekarang nak dapat RM3,000 pun mereka terpaksa ambil.

“Tapi itulah rezeki masing-masing. Kita jual, kita beli, kita tak tandatangan apa-apa pun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN