Anak autisme, kami lebih mengenali anak sendiri - Shila Amzah - Utusan Malaysia

Anak autisme, kami lebih mengenali anak sendiri – Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah, mengakui tidak semua orang mampu mengendalikan penjagaan anak lelakinya, Seth, dengan baik memandangkan anak sulungnya itu merupakan kanak-kanak autism.

Menurut Shila, tidak semua individu benar-benar memahami keperluan dan tingkah laku anak autism dan berikutan itu dia dan suami, Ubai, berhak untuk menentukan siapa yang layak membawa Seth keluar ke mana sahaja.

“Kami lebih mengenali anak kami. Seth sudah lama tidak mengalami tantrum, tetapi kebelakangan ini keadaannya sedikit berubah,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

Shila turut menegaskan bahawa meskipun Ubai bukan bapa kandung Seth, hubungan mereka sangat rapat sehingga Seth paling menyayanginya.

“Ubai yang mendisiplinkan, menunjukkan empati, mengajar emosi, mengajar cara menendang bola malah melatih Seth ke tandas.

“Kami benar-benar mencurahkan jiwa dan raga untuknya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Shila berkata Seth tidak mempunyai masalah untuk bersama neneknya, rakan-rakan rapat ataupun keluarga Ubai kerana mereka memahami keperluannya.

“Mereka tahu apa yang Seth suka, pandai mengambil hatinya dan amat memahami pencetus isu sensori dirinya.

“Sebab itu, ada individu dalam hidup kami yang boleh keluar berdua dengan Seth dan dia pulang dengan gembira,” ujarnya.

Namun demikian, Shila mengakui Seth kini lebih sensitif apabila merajuk.

“Kalau dia merajuk, dia akan ‘shut down’ persekitaran dahulu sebelum kembali kepada kami selepas dia berjaya menenangkan diri,” jelasnya.

Shila bagaimanapun bersyukur kerana ramai di sekeliling mereka mahir menguruskan Seth, tetapi terkilan kerana ada pihak yang sepatutnya lebih memahami namun memilih untuk bersikap sebaliknya.

Shila dan Ubai sah bergelar suami isteri pada 5 Ogos 2023 dengan sekali lafaz, dan kini bahagia dengan kehadiran anak perempuan mereka, Rhea Akira, yang dilahirkan pada 9 Mei tahun lalu.

Sebelum itu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias pada 8 Februari 2022, namun rumah tangga mereka berakhir selepas empat tahun bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN