Alumni ASWARA bakal pentaskan teater Paduka Cik Siti - Utusan Malaysia

Alumni ASWARA bakal pentaskan teater Paduka Cik Siti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal mementaskan teater muzikal Paduka Cik Siti arahan Kamarulzaman Taib atau Che Kem.

Naskhah itu menceritakan kisah epik Paduka Cik Siti Wan Kembang (Ratu yang dikaitkan dengan Kijang Emas), seorang pemerintah wanita yang legenda di Tanah Melayu (Kelantan) abad ke-17.

Teater anjuran Persatuan Alumni ASWARA ini bukan sahaja menumpukan kepada aspek sejarah, tetapi juga mengangkat tema keberanian, kasih sayang dan pengorbanan.

Menurut Che Kem, ia mengungkap keperkasaan pemimpin wanita mengharungi cabaran zaman dalam desakan dan tekanan daripada dalam dan luar negeri.

“Kecekalan dan kekuatan jiwa wanita ini, sehingga sanggup mengetepikan kemahuan peribadi. Baginya rakyat dan negeri lebih utama.

“Perjuangan Cik Siti Wan Kembang bukan sekadar memerintah negeri sehingga menjadikan” Tanah Serendah Sekebun Bunga” terkenal dan masyhur kerana memiliki pentadbiran yang sistematik.

“Bahkan baginda menempuh cabaran melawan prejudis pembesar lelaki terhadap pemimpin wanita dan mempertahankan kedaulatan negeri daripada ancaman dan serangan Siam,” katanya.

Menurutnya, penyanyi Asmidar Ahmad ditampilkan sebagai Cik Siti Wan Kembang manakala Dr Norzizi Zulkifli sebagai Seri Banun iaitu bonda Cik Siti Wan Kembang.

“Asmidar memiliki suara emas yang tebal tradisinya. Dia memang dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu berirama Melayu, namun hakikatnya dia adalah lulusan dalam vokal klasik yang memiliki kelebihan pelbagai genre.

“Keistimewaan ini yang diperlukan oleh Cik Siti Wan Kembang. Asmidar juga adalah pelakon pentas yang berpengalaman dan pernah muncul dalam muzikal P. Ramlee, Puteri Gunung Ledang dan Dendam Laksamana

“Dia juga hebat di pentas sebagai pelakon utama teater tradisional Mek Mulong. Watak Cik Wan Kembang memerlukan seorang pelakon yang anggun, matang, dewasa dan memiliki kebijaksanaan. Asmidar memiliki kualiti itu. Lebih istimewa, Asmidar juga punya kemahiran bersilat,” katanya.

Che Kem berkata, watak Seri Banun pula akan memperlihatkan sisi Norzizi sebagai pelakon muzikal.

“Pelakon lain ialah Taqim Zaki sebagai Panglima Merah, seorang lelaki yang sentiasa ada bila Cik Siti Wan Kembang memerlukan pertolongan. Taqim adalah pelapis baharu pelakon versatil yang harus diteroka kerana mempunyai kualiti yang diperlukan dalam seni lakon.

“Turut berlakon ialah Syukor Ibrahim Bachik seorang pelakon muzikal yang memiliki kualiti suara yang hebat dan Sharul Mizad sebagai Raja Siam yang setiap kali muncul di pentas teater akan memukau penonton dengan pesona,” katanya.

Menurutnya, muzikal ini dipersembahkan dalam semangat dan rupa kontemporari, namun masih mengekalkan keunggulan seni budaya melalui pelbagai elemen seperti muzik, tari dan lakonan.

“Gabungan pelbagai elemen tradisional seperti mak yong dan wayang kulit dengan teknologi kreatif serta senireka produksi yang dominan menjanjikan satu persembahan yang menghidangkan banyak spektakular.

“Muzik kontemporari kekal dengan roh tradisional disulam dengan gaya lakon dan tari, semestinya muzikal ini boleh memenuhi selera khalayak muda dan dewasa,” katanya.

Che Kem berkata, Paduka Cik Siti menggabungkan tenaga kreatif daripada generasi ASWARA sejak graduan pertama hingga mutakhir. Kredibiliti mereka dalam teater, muzik, tari, senireka dan seni persembahan tidak dapat dinafikan lagi.

“Pengarah Muzik ialah Suflan Faidzal Arshad yang juga komposer yang memiliki pengalaman luas dalam seni persembahan tradisional dan moden. Lagu ciptaannya Badarsila nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza masih segar dan memberi nuansa yang berbeza sewaktu diterbitkan.

“Gabungan koreografer Azura Abal Abbas dan Failul Adam adalah gandingan kontra yang memberi bias kepada gerak unik dan berjiwa Melayu,” katanya.

Menurut Che Kem, perkara utama baginya adalah, muzikal ini memenuhi estetika sebuah muzikal.

“Sebuah cerita yang mudah diikut dan difahami, menawarkan spektakular daripada segi dramatik, teknologi dan kesan khasnya. Ia menghiburkan dengan gabungan elemen cinta, sedih, komedi dan pertarungan. Lagunya mesra, mudah dan sedap ditelinga. Khalayak pulang dengan puas. Insya-Allah,” katanya.

Teater muzikal “Paduka Cik Siti” akan dibuka dengan Malam Gala pada 19 Disember, jam 8.30 malam
yang akan berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Ia diikuti pementasan seterusnya pada 20 Disember (jam 3 petang dan 8.30 malam) serta 21 Disember (jam 3 petang).

Kategori tiket pula ialah Paduka Cik Siti: RM150 (untuk 71 kerusi), Seri Banun: RM120 (114 kerusi), Prasat Thong: RM80 (198 kerusi), Puteri Saadong: RM40 (concession-122 kerusi).

Pembelian tiket boleh dibuat melalui cloudjoi.com. A

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN