KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Adira Suhaimi menjelaskan bahawa tindakan meninggalkan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu, di tepi lebuh raya sebelum ini bukan dilakukan secara sembarangan seperti didakwa di media sosial.
Menurut Adira, 34, lokasi tersebut dipilih kerana berada berhampiran sebuah stesen minyak dan selamat untuk ditinggalkan.
“Saya mengaku ada tinggalkan, tetapi bukan tengah malam.
“Saya tinggalkan dia dekat stesen minyak supaya mudah untuk ke tandas dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya, Cermin Memori, di Royale Chulan Damansara, semalam.
Adira berkata, punca sebenar kejadian berkenaan tidak akan didedahkan kerana ia hanya melibatkan dirinya dan bekas suami.
“Ada sebab tertentu yang saya tak boleh kongsi. Apa yang dia cerita itu dari pihak dia. Cukuplah saya dan dia sahaja yang tahu,” ujarnya.
Selain itu, Adira turut memilih untuk tidak membalas kenyataan yang dibuat Adnan bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang.
“Saya tak mahu keruhkan keadaan. Saya cuba jalani kehidupan dengan tenang. Saya faham kadang-kadang orang bercakap ikut emosi, bukan akal.
“Kalau saya balas, bimbang ia akan menyinggung hati banyak pihak termasuk anak-anak tiri,” katanya lagi.
Menurut penyanyi itu, hubungan baik yang sedia terjalin bersama anak-anak perlu dijaga, apatah lagi mereka masih perlu berhubung demi urusan keluarga.
Katanya, buat masa ini kebanyakan urusan komunikasi dengan bekas suami diserahkan kepada kakaknya, Emma Suhaimi.
“Kami sudah membawa haluan masing-masing. Dia tetap akan datang ke rumah untuk lihat anak. Jadi saya elak timbul kekok. Kalau mesej, saya biarkan kakak yang urus,” jelasnya.
Adira dan Adnan atau Datuk Red berkahwin pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April tahun lalu.
Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata — Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.









