KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ziana Zain, 57, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan tiada lagi kata nasihat daripada Allahyarham bapanya, Pak Zain, yang menjadi kelaziman setiap kali dia bakal melakukan sesebuah persembahan.
Kata Ziana, kesedihan itu kian dirasa terutama apabila dia bakal melangsungkan konsert Empat Live in Kuala Lumpur pada 18 Oktober ini di Mega Star Arena bersama Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel.
Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah itu, Allahyarham bapanya merupakan sumber kekuatan dan penasihat utama dalam setiap langkah seninya
“Dah tak ada dah orang nak tanya balik rumah, ‘Kau pakai baju apa nak? Konsert ini kau buat macam mana? Kau berdiri kat mana dulu?’.
“Dulu abah sangat prihatin dengan setiap perkara yang saya nak buat ketika persembahan. Dia akan tanya semua benda. Daripada baju, solekan sampai mimik muka atas pentas. Dia selalu pesan, ‘Kalau berdiri itu biar penuh keyakinan nak supaya orang tengok kita yakin.
“Sekarang dah tak ada. Dah tak ada orang yang tunggu saya balik ‘show’, tanya macam mana persembahan tadi,” ujarnya.
Ziana berkata demikian ketika ditemui pemberita di sesi pelancaran muzik video terbaharu, Jangan Henti, di Sungei Wang, hari ini.
Selain itu, jelas Ziana, arwah Pak Zain juga bukan sekadar bapa, tetapi merupakan mentor dan penasihat seni yang amat memahaminya berikutan pernah bergelar penyanyi.
“Kalau dulu, semasa arwah masih ada, lepas konsert abah tak tidur. Dia tunggu saya balik. Dia akan tanya, ‘macam mana nak? Okey nak?’ Dia akan telefon, doa, sembahyang hajat, minta semua dipermudahkan.
“Tetapi sekarang dah tak ada. Bila bangun pagi, rasa nak telefon abah, baru tersedar abah dah tak ada,”luahnya.
Dalam pada itu, Ziana berkata, biarpun kehilangan itu terasa amat berat, dia reda dan percaya doa bapanya tetap mengiringinya walaupun arwah telah tiada.
“Ustaz pun cakap, jangan bimbang. Apa yang mak bapa kita dah doakan untuk kita, Insya-Allah akan berjalan. Jadi saya yakin, walaupun abah dah tak ada, doa dia masih ada.
“Saya tahu saya kena reda. Say menangis bukan sebab tak reda, tapi sebab rindu. Tapi saya kena kuat, kami semua kena kuat,” katanya.
Allahyarham bapa Ziana, Zin Abdullah, menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediaman keluarganya di Subang Permai, Selangor, sekitar jam 2.50 petang pada 26 Ogos lalu.
Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat kanser prostat.