Pelakon dan penyanyi popular, Zara Zya, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul Terpatri Cinta, ciptaan penuh komposer dan penulis lirik berbakat, Wanns Ahmad.
Lagu yang menampilkan sisi lembut dan matang Zara ini mengetengahkan nuansa romantik dengan elemen Islamik yang menyentuh hati. Selain itu, ia bukan sekadar kisah cinta biasa, sebaliknya membawa mesej tentang kasih yang berpaksikan keikhlasan dan reda Ilahi.
Menurut Zara, Terpatri Cinta begitu dekat dengan perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni.
“Pertama kali saya baca lirik dan dengar melodi, hati saya terus tertarik. Lagu ini bukan sekadar tentang kasih, tapi cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah. Wanns buat lagu ini ikut jiwa yang saya mahukan juga ada sedikit ‘vibes’ Indonesia dan Islamik,” katanya.
Tambah Zara, ada beberapa bait lagu yang benar-benar menyentuh jiwanya kerana menggambarkan pengalaman hidupnya sendiri.
“Ada bahagian dalam lagu ini yang memang dekat dengan pengalaman saya. Ia bukan semata kisah cinta, tapi tentang perjalanan hati bagaimana cinta itu boleh jadi doa,” katanya.
Di samping itu, proses rakaman lagu tersebut mengambil masa hampir sebulan dan berjalan lancar di bawah bimbingan Wanns Ahmad. Zara mengakui cabaran utama adalah mengawal emosi agar penyampaian setiap bait lirik terasa tulus.
“Wanns seorang komposer yang memahami jiwa saya. Dia tahu saya bukan penyanyi profesional, jadi prosesnya mudah dan menyeronokkan. Tapi ada bahagian yang terlalu menyentuh hati saya sampai suara pun bergetar,” katanya.
Terpatri Cinta turut hadir dengan muzik video berkonsep minimalis yang memberi tumpuan kepada ekspresi dan perasaan, bukan visual berlebihan.
“Konsep muzik video lebih fokus pada rasa, bukan hanya visual. Terima kasih kepada Datuk Alha Alfa kerana sudi menaja muzik video ini,” kata Zara penuh penghargaan.
Bagi Zara, Terpatri Cinta menggambarkan makna cinta yang suci dan abadi kerana Allah.
“Cinta yang paling indah ialah cinta yang disucikan dengan niat yang betul. Terpatri Cinta bukan sekadar lagu, tapi doa kecil tentang cinta abadi,” katanya.
Single Terpatri Cinta dilancarkan bersempena ulang tahun kelahirannya pada 22 Oktober lalu dan kini boleh distrim di semua platform digital utama. Seterusnya, muzik video rasminya turut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’.
 
								
 
								 
								 
											









