KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan tugas sebagai pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) kira-kira tiga bulan lalu, personaliti televisyen popular, Uyaina Arshad, tampil dengan langkah berani apabila kini menceburi bidang penerbitan filem pula.
Menerusi perkongsian di laman Threads, Uyaina, 32, memaklumka, dia kini sedang memberi tumpuan kepada projek filem pertamanya berjudul Ragging: Melawan Bungkam, yang diinspirasikan daripada kisah benar.
“Saya rasa terpanggil untuk menghasilkan filem ini. Rasa gementar tapi sejujurnya keterujaan dalam membentuk sebuah projek ini memang sangat memuaskan!
“Selalunya saya berada di hadapan kamera, tapi kali ini di belakang pula,” katanya.
Menurut Uyaina, pengalaman bergelar penerbit membuka peluang besar buat dirinya untuk menimba ilmu baharu, selain memahami dengan lebih mendalam proses di sebalik pembikinan sesebuah karya.
“Masih banyak yang saya perlu pelajari, namun saya bersyukur kerana dikelilingi insan-insan yang sentiasa memberi bimbingan dan sokongan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, walaupun kini memberi tumpuan kepada penerbitan dan penulisan skrip, dunia pengacaraan dan lakonan tetap dekat di hatinya.
“Mengacara, berlakon dan memperjuangkan isu akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya,” jelasnya.
Filem Ragging: Melawan Bungkam dijangka membawa mesej besar tentang keberanian dan ketabahan menghadapi tekanan sosial.
Ia juga sekali gus menandakan permulaan baharu buat Uyaina dalam dunia penerbitan tempatan.