Diana Danielle padatkan jadual anak-anak elak gejala negatif

Diana Danielle padatkan jadual anak-anak elak gejala negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengelak anak-anak terpengaruh dengan gejala negatif,pelakon, Diana Danielle, mengambil pendekatan tersendiri dengan memastikan mereka aktif menyertai pelbagai aktiviti sukan bagi mengisi masa harian.

Diana, 35, berkata, kedua-dua anaknya iaitu Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10, kini mempunyai jadual mingguan yang padat dengan aktiviti sukan, terutamanya bola sepak, yang turut mendapat sokongan penuh daripada bekas suaminya, Farid Kamil.

“Kalau tanya bagaimana saya kawal kebebasan anak-anak, saya dan Farid memilih untuk sibukkan mereka dengan sukan.

“Empat kali seminggu mereka bermain bola sepak. Lepas sekolah pukul 3 petang, sambung latihan pukul 6 hingga 10 malam.

“Hujung minggu pula ada kejohanan. Jadi bila balik, mereka penat dan terus tidur,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media drama Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup di sini, semalam.

Menurut Diana, walaupun anak-anaknya masih diberi ruang menggunakan gajet dan menonton televisyen, masa mereka lebih banyak diisi dengan aktiviti fizikal yang sihat.

Diana turut menegaskan pentingnya keseimbangan dalam mendidik anak-anak dan memainkan peranan aktif sebagai ibu, terutama dalam memantau perkembangan harian mereka.

“Saya akan hantar mereka ke sekolah setiap pagi, jadi masa itu saya boleh lihat keadaan mereka.

“Sebelum tidur pun saya pastikan mereka okay sebab masih tidur bersama saya. Sekarang saya banyak bekerja dari rumah, jadi lebih mudah untuk pantau,” jelasnya.

Tambah Diana, Farid turut memainkan peranan penting sebagai bapa dengan menguruskan jadual sukan anak-anak yang kebanyakannya berdekatan dengan tempat tinggalnya.

“Farid uruskan bahagian aktiviti sukan, manakala saya lebih kepada hal pelajaran dan persekolahan. Kami cuba seimbangkan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon filem Imam itu turut menegaskan beliau dan bekas suami tidak membenarkan anak-anak bermain permainan dalam talian seperti Roblox yang dianggap mempunyai kesan negatif terhadap perkembangan minda kanak-kanak.

“Ayah mereka memang menentang permainan Roblox sejak dulu. Pemantauan ibu bapa sangat penting kerana kadang-kadang apa yang ibu tak nampak, ayah boleh perasan kesannya.

“Kami cuba ambil iktibar daripada kesilapan orang lain dan perbaiki setakat yang mampu,” ujarnya.

Sementara itu, Diana bakal muncul dalam drama kanak-kanak Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup yang akan ditayangkan di Astro Ceria mulai 3 November ini.

Drama tersebut turut dibintangi oleh barisan pelakon popular antaranya Arabella Allen, Fimie Don, Ezzanie Jasny, Aliff Satar, Elly Mazlein, Niezam Zaidi dan Bell Ngasri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN