KUALA LUMPUR: Pengalaman getir penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini nyata telah meninggalkan kesan mendalam apabila dia mengakui dipaksa membuka tudung dan stoking oleh tentera Israel ketika dalam tahanan.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, menceritakan detik mencemaskan itu sebagai antara saat paling memilukan dalam hidupnya apabila auratnya terdedah akibat paksaan pihak berkuasa rejim Zionis.
“Apabila nama saya dipanggil untuk ke imigresen, mereka arahkan supaya buka stoking dan kasut. Saya enggan kerana ia haram, namun mereka tetap memaksa.
“Kemudian mereka arah saya buka tudung. Saya menolak dan beritahu saya seorang Muslim, tetapi tudung saya tetap ditarik dari belakang.
“Ketika itu rakan-rakan sekapal menangis dan menjerit agar saya kuat,” katanya dalam satu temu bual.
Zizi berkata, dalam keadaan itu, dia hanya mampu berdoa agar kezaliman rejim Zionis mendapat balasan setimpal.
“Saya doa agar Allah berikan balasan paling berat kepada mereka atas kekejaman terhadap umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Zizi turut berkongsi bahawa sepanjang dalam tahanan, pihak berkuasa Israel melarangnya mengenakan hijab dan memaksa menukar pakaian penjara.
“Sebelum dibawa ke penjara, hijab saya ditarik sekali lagi. Bahagian dalam baju saya digunting kerana mereka tidak mahu saya memakai lapisan lain. Kasut dan stoking juga sudah dirampas.
“Setibanya di penjara, mereka suruh saya tukar kepada pakaian penjara dan tidak membenarkan saya memakai hijab,” katanya lagi.
Menurut penyanyi lagu Eh itu, beberapa tentera Israel mengenalinya menerusi media sosial namun dia mengakui tetap tenang berdepan dengan mereka.
“Ada yang cakap mereka kenal saya dari TikTok dan Instagram. Saya hanya senyum sinis. Dalam hati saya tahu inilah manusia paling zalim yang sedang saya hadapi. Tapi saya perlu kekal tenang,” ujarnya.
Zizi turut mendedahkan bahawa dia dapat melihat ketakutan di wajah tentera Israel ketika mereka bersemuka.
“Saya bertentang mata dengan mereka. Dalam hati saya berdoa agar Allah hapuskan mereka dari muka bumi. Mereka marah saya pandang mereka lama-lama,” katanya.
Akaun Instagram milik Zizi kembali aktif semalam selepas beliau dan 22 lagi aktivis kemanusiaan Malaysia dibebaskan daripada tahanan Israel dan dihantar pulang menaiki pesawat komersial ke Istanbul, Turkiye bersama aktivis dari beberapa negara lain.
Selain Zizi, antara aktivis yang turut serta dalam misi berkenaan ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardell Aryana, Farah Lee dan PU Rahmat.