KUALA LUMPUR: Pengacara dan pempengaruh media sosial, Ceddy, mendedahkan pengalamannya berhubung isu mistik ketika mengacarakan sebuah program televisyen baru-baru ini.
Menurut Ceddy atau nama sebenarnya Ceddy Ang, kejadian itu berlaku semasa dia mengendalikan sebuah pertandingan dan ketika itu suasana menjadi tegang akibat tekanan yang dirasai oleh mereka yang terlibat.
“Ramai peserta kelihatan terlalu gugup, malah ada yang menangis sebelum pertandingan bermula.
“Apa yang menghairankan, peserta yang terkenal dan biasanya kelihatan yakin juga tiba-tiba lemah semangat,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Bagaimanapun, Ceddy menjelaskan bahawa keadaan kembali tenang sebaik sahaja pertandingan dimulakan dan semua peserta berjaya membuat persembahan seperti biasa tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Ceddy turut mendakwa ada segelintir individu mendengar dan melihat perkara pelik sebelum pertandingan berlangsung, namun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan spekulasi.
“Salah seorang peserta beritahu saya sesuatu yang agak pelik. Saya tak mahu sebut nama, tapi katanya dia nampak sesuatu semasa dalam perjalanan ke tempat pertandingan.
“Saya cuma mendengar dan tidak mahu membuat kesimpulan. Saya beritahu dia, ‘Jangan risau, saya hanya pembantu. Saya bukan di sini untuk menang, saya cuma mahu buat kerja saya’.
“Namun selepas itu, beberapa orang lain mula berkongsi pengalaman yang hampir sama. Saya sendiri tidak pasti sama ada ia benar-benar gangguan atau sekadar perasaan masing-masing kerana terlalu tertekan.
“Tapi selepas saya melihat keadaan itu sendiri, saya mula rasa tidak selesa. Selepas persembahan tamat, saya terus beredar dari tempat itu. Saya tidak mahu berada di situ lebih lama,”ujarnya.
Tambahnya, dia turut menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan menegaskan bahawa tujuannya berkongsi hanyalah untuk bercerita tentang pengalaman yang dialami.
Terdahulu, isu kejadian mistik mula timbul apabila ada pihak mengaitkan ia kononnya menjadi salah satu punca peserta program Talk To My Manager (TTMM), Amad, rebah dan jatuh sakit ketika membuat persembahan di pentas akhir program itu, Ahad lalu.
Program tersebut yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), mendapat perhatian ramai apabila kejadian yang menimpa Amad itu dikatakan berlaku secara misteri.