Solidariti GSF: Marsha Milan sanggup tunda pelancaran muzik video - Utusan Malaysia

Solidariti GSF: Marsha Milan sanggup tunda pelancaran muzik video

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Marsha Milan, 39,membuat keputusan untuk menunda pelancaran video muzik lagunya berjudul Tangisan Seorang Pendosa yang sepatutnya ditayangkan pada jam 8 malam di YouTube.

Marsha berkata, keputusan itu diambil sebagai tanda solidariti dan penghormatan terhadap para sukarelawan Malaysia yang kini ditahan tentera Zionis Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

“Kepada semua peminat dan rakan yang saya kasihi, saya ingin memaklumkan pelancaran video muzik Tangisan Seorang Pendosa yang dijadualkan berlangsung Jumaat pada jam 8 malam terpaksa ditunda.

“Buat masa ini, marilah kita bersama-sama berdoa agar rakan-rakan kita di Global Sumud Flotilla (GSF) serta rakyat Malaysia yang terlibat dikurniakan keselamatan, kesihatan yang baik serta segala urusan mereka dipermudahkan.

“Semoga Allah melindungi mereka, meneguhkan hati mereka dan kembalikan mereka ke pangkuan keluarga serta tanah air dengan selamat, Insya-Allah,”katanya.

Tindakan Marsha itu menuai pujian peminat yang rata-rata menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan terhadap isu kemanusiaan global.

Terdahulu, media melaporkan semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan berada dalam keadaan selamat dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF terutama rakyat tempatan yang ditahan Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah berhubung dengan beberapa pemimpin serta rakan sejawat negara sahabat, termasuk Amerika Syarikat, bagi mendapatkan kerjasama dalam usaha membawa pulang semua sukarelawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN