Seni kreatif bidang yang memanusiakan manusia - Nasha Aziz - Utusan Malaysia

Seni kreatif bidang yang memanusiakan manusia – Nasha Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan model terkenal, Nasha Aziz, mengakui pada awalnya tidak pernah terfikir untuk bergelar pelakon namun percaya Allah menempatkannya dalam bidang seni kerana ada hikmah tersendiri.

Menurut Nasha, dia tidak mempunyai perancangan untuk menceburi bidang lakonan, namun melihat penglibatan dalam industri kreatif sebagai ketentuan yang membawa banyak pengajaran tentang kehidupan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon atau anak seni. Namun Allah Maha Berkuasa.

“Dia beri saya sedikit bakat, walaupun saya tidak pernah berhasrat atau meminati dunia lakonan sebelum ini,” katanya ketika membuat siaran langsung di Tiktok, semalam.

Tambah Nasha, pengalaman dalam dunia seni membuka ruang untuk memahami kehidupan dan nilai kemanusiaan dengan lebih mendalam.

“Saya percaya Allah menempatkan saya dalam bidang ini supaya saya dapat mengenali kehidupan manusia di luar sana. Bidang seni kreatif ini sebenarnya memanusiakan manusia,” jelasnya.

Tidak cuma itu, Nasha turut berkongsi bahawa perjalanan hidupnya banyak mengajar erti kesyukuran serta memberi peluang untuk mengenal diri sendiri.

“Sepanjang perjalanan hidup, Allah memperkenalkan saya kepada erti hidup dan kemanusiaan. Melalui bidang ini, saya belajar banyak perkara tentang manusia.

“Dulu saya berjuang kerana mereka iaitu ibu bapa saya. Apabila mereka sudah tiada, saya mula mencari semula makna dan tujuan diri,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun kini memilih untuk hidup lebih tenang dan sederhana, dia tetap bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan.

“Saya tidak perlukan kemewahan atau perkara bersifat material. Cukuplah dengan nikmat kesihatan dan peluang untuk terus belajar mengenali dunia ciptaan Allah.

“Bagi saya, kita perlu terus sihat untuk terus memberi, walaupun dalam diam. Asalkan kita berniat baik dan berusaha untuk berbakti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN