Selebriti, pempengaruh tolonglah guna suara sebarkan kebenaran- Dayah Bakar - Utusan Malaysia

Selebriti, pempengaruh tolonglah guna suara sebarkan kebenaran- Dayah Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Golongan selebriti serta pempengaruh digesa menggunakan platform media sosial masing-masing untuk menyebarkan mesej kemanusiaan dan memperjuangkan hak asasi manusia, khususnya dalam isu Palestin.

Perkara itu diluahkan oleh pengacara dan personaliti televisyen, Dayah Bakar atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar, 36, yang menyifatkan tanggungjawab itu harus dipikul bersama terutama dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Tolonglah, wahai selebriti dan pempengaruh. Kamu ada pengikut, kamu ada kuasa untuk sebarkan kebenaran. Kenapa tidak gunakan kelebihan itu untuk isu kemanusiaan?

“Jangan rasa penat untuk berkongsi. Walaupun hanya satu hantaran, nilainya besar. Sesiapa pun kalau ada hati dan perasaan, pasti faham maksud kemanusiaan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Dayah lagi, dia juga hairan mengapa ada pihak perlu diberi alasan untuk menolak kekejaman atau mempertahankan nyawa yang tidak bersalah.

“Saya tak tahu apa dah jadi dengan manusia sekarang ini. Perlu ke kita bagi sebab untuk menentang pembunuhan beramai-ramai? Perlu ke kita turun berdemo hanya untuk cakap bunuh bayi itu salah?

“Saya marah, tapi dalam masa sama saya sebak. Sampai bila kita nak biar kezaliman ni berlaku depan mata?,” ujarnya pada Himpunan Solidariti bersama Gaza, di sini, malam tadi.

Selain itu, Dayah turut menzahirkan rasa kagum terhadap keberanian 23 sukarelawan Malaysia di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang baru pulang selepas ditahan rejim Zionis Israel.

Baginya, perjuangan mereka sepatutnya dijadikan inspirasi dan tidak wajar jika ada pihak mempertikaikan sambutan rakyat Malaysia terhadap kepulangan sukarelawan tersebut kerana penghargaan itu lahir daripada rasa bangga dan hormat.

“Saya tengok sendiri rakyat Malaysia yang pergi berjuang. Mereka tinggalkan anak, suami, keluarga demi kemanusiaan. Jangan fikir tugas mereka mudah.

“Sebab tu saya sedih bila nampak ada komen kecam. Ada yang kata mereka ni macam nak diraikan, kononnya lebih-lebih. Sedangkan mereka tak minta pun disanjung. Kita raikan sebab kita hargai pengorbanan mereka.

“Mereka wira kita. Kalau tak suka, diam. Tak perlu nak tulis komen sinis atau pertikai usaha mereka. Kalau nampak komen negatif, jangan layan. Kita bagi sokongan, bukan cercaan,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN