PETALING JAYA: “Zaman sekarang ini yuran sekolah anak punyalah mahal.”
Demikian luahan penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat yang berpendapat kos pendidikan kanak-kanak semakin meningkat naik biarpun di peringkat sekolah tadika.
Tambah Ayda, kadar bayaran yuran sekolah di peringkat awal kanak-kanak seperti tadika mahu pra-sekolah pada masa kini semakin tidak masuk akal kerana sudah mencecah ribuan ringgit.
“Dulu masa kita sekolah tadika, kita sudah rasa mahalnya yuran yang dibayar ibu bapa kita. Sekarang yurannya sudah beribu riban ringgit harganya.
“Harga yuran sahaja sudah seperti sebulan gaji orang. Kaya orang yang buat sekolah,” katanya di Threads.
Namun, pelakon Mandul Bukan Pilihan itu juga meluahkan rasa kurang senang terhadap kondisi atau cara penyelenggaraan sekolah tadika yang berkos rendah yang disifatkan tidak bersih dan mempunyai pelbagai masalah lain.
“Kalau sekolah yang murah sikit, sekejap masuk hospital pula, sakit perut lah, tandas kotor lah, lebam sana sini,” luahnya.
Perkongsian spontan penyanyi itu secara tidak langsung mendapat sorotan dari kalangan ibu bapa yang rata-ratanya bersependapat dengannya.
Namun, ada juga pihak yang menegur Ayda agar tidak sewenang-wenangnya melabel sekolah tadika berkos rendah sentiasa kotor dan bermasalah.
“Kalau mampu silakan ke tadika mahal. Tapi janganlah sampai cakap tadika tak mahal kotor dan negatif. Mana-mana tempat belajar pun kalau diuruskan dengan baik, mesti anak-anak belajar dengan sihat dan pandai,” tegur seorang netizen.
“Sekolah mahal pun ada kes tapi ditutup dan dijaga rapi supaya tak masuk ke media,” komen netizen.
“Awak yang mampu pun rasa begini. Bayangkan ibu bapa yang gaji biasa-biasa. Mereka perlu hantar anak ke tadika kerana tiada pilihan lain.
“Tadika biasa pun yuran tahunannya dah melebihi RM1,000, bulanan sahaj lebih RM600. Belum tambahan lain. Moga Allah rezekikan kita semua dengan rezeki baik-baik supaya dapat bagi yang terbaik untuk anak kita,” kata seorang pengguna media sosial.