KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara,Irma Hasmie menegaskan, dirinya tidak pernah meninggalkan dunia seni.
Sebaliknya, kata Irma, dia kini lebih memilih dalam menerima tawaran bagi memberi keutamaan kepada keluarga.
Irma atau nama penuhnya Irma Hasmie Ibrahim, 43, berkata, walaupun jarang muncul di kaca televisyen, dia masih aktif dalam bidang pengacaraan dan lakonan mengikut kesesuaian masa serta komitmen.
“Saya ada saja, Alhamdulillah masih aktif. Cuma bila saya mengacara, tiada kontrak tetap, sebab itu orang nampak saya jarang muncul.
“Biasanya projek ‘one-off’, tapi baru-baru ini saya ada tandatangan kontrak dengan Bernama TV.
“Insya-Allah projek itu akan ditayangkan tidak lama lagi, malah penggambaran sudah pun bermula,” katanya.
Tambah Irma, tawaran berlakon juga masih diterima namun dia perlu menyesuaikan jadual dengan tanggungjawab sebagai ibu.
“Anak-anak masih bersekolah dan saya yang menjaganya sepenuhnya. Kalau watak ‘cameo’, saya boleh usahakan,” jelasnya.
Irma berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana filem Hayya 3: Gaza di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Irma turut berkongsi kehidupannya kini lebih tenang selepas melalui fasa perceraian, selain memilih untuk melihat setiap ujian dari sudut positif.
“Saya tak kata benda itu mudah, ada kesukarannya, tapi itu kehidupan. Ujian tetap ada dan kita tak boleh lari.
“Kena hadapi dengan tenang walaupun ada waktunya kita ‘down’, tetap perlu cari kekuatan.
Walau apa pun berlaku, kita tak boleh bersedih lama-lama. Kena teruskan hidup sebab Allah sentiasa bersama kita,” ujarnya.
Menurut Irma, pengalaman hidup banyak mengajarnya tentang ketenangan dan kebergantungan kepada Allah.
“Dulu sebelum saya berhijrah, saya tak buat apa yang sepatutnya sebagai Muslim, tapi Allah tetap bagi rezeki.
“Kalau kita usaha menjadi lebih baik dan tinggalkan perkara yang tidak baik, insya-Allah Allah akan bantu.
“Saya tak kata saya sempurna, tapi bila kita sentiasa mencari ilmu dan mendekati Allah, mustahil Dia akan tinggalkan kita,” katanya lagi.
Untuk rekod, Irma mendirikan rumah tangga dengan Redza Syah Azmeer pada tahun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Pasangan itu disahkan bercerai sekitar Oktober 2023, sebelum Redza dilaporkan mendirikan rumah tangga kali kedua pada April tahun berikutnya.— UTUSAN










