KUALA LUMPUR: Ibu kepada penyanyi, Aisha Retno, Jean Retno Aryani, 58, meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila anaknya dituduh mengamalkan sihir susulan kejadian pengsan di program Talk To My Manager (TTMM), baru-baru ini.
Menurut Jean, tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali dan hanya mengundang fitnah terhadap anaknya yang selama ini berjuang keras membina nama dalam industri seni tanah air.
“Saya hairan bila terbaca komen dan tulisan yang menuduh Aisha amalkan benda bukan-bukan di media sosial. Ada yang kata kalau dia terlibat dalam persembahan atau pertandingan, mesti ada perkara pelik berlaku.
“Saya tahu siapa yang mula menulis benda ini, tapi kami diam sahaja sebab tak perlu perbesarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.
Selain itu, tambah Jean, sebagai ibu, dia tahu keadaan sebenar anaknya selain tidak menolak bahawa Aisha juga sebelum ini pernah mengalami serangan panik (panic attack) dan keletihan melampau akibat jadual kerja yang padat.
“Saya ibu dia, saya mengandung dan melahirkan dia, saya tahu keadaan Aisha. Dia pernah mengalami keadaan yang sama gara-gara kepenatan ketika di Indonesia dulu sampai dimasukkan ke hospital.
“Jadi bila perkara sama berlaku di TTMM, saya memang sedih tengok dia terbaring, kejang sampai perlu panggil ambulans. Hal ini bukan perkara main-main,” ujarnya.
Jean turut mendedahkan, kejadian itu berpunca daripada keletihan dan kekurangan makan selepas beberapa hari Aisha sibuk dengan urusan kerja tanpa rehat mencukupi.
“Hari kejadian, dia kata dah makan dan kelihatan sihat. Tapi tiba-tiba dia pengsan. Mungkin sebab hari-hari sebelum itu dia tak cukup tidur dan terlalu letih.
“Di lokasi pun memang sudah ada pasukan perubatan yang bantu rawat Aisha jadi sebab itu kami tak pergi hospital. Di lokasi, pihk produksi sudah menyediakan pasukan perubatan,”jelasnya.
Mengulas lanjut, Jean berkata, dia kecewa apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab menulis dan menyebarkan dakwaan kononnya Aisha menggunakan ilmu sihir bagi tujuan tertentu.
“Ada yang mesej saya kata Aisha pakai itu ini. Saya hanya mampu beristighfar. Kami ni hanya mohon kepada Allah, tak ada hal-hal lain.
“Bila baca komen sindir-sindir Aisha, memang terasa hati. Tapi nak marah pun rasa tak perlu. Biarlah,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Jean turut memuji sikap tenang anaknya yang enggan melayan tuduhan tersebut, sebaliknya memilih untuk terus fokus terhadap kerjaya.
“Aisha ini paling tenang. Dia tak balas apa-apa pun. Dia tahu siapa yang buat, tapi dia diam. Ramai saksi di belakang pentas nampak kejadian sebenar.
“Kami tak ganggu kehidupan orang lain, jadi kenapa perlu fitnah begitu? Cukuplah dengan fitnah begini. Saya cuma mahu anak saya terus sihat dan kuat. Allah lebih tahu kebenaran,” katanya.
Dalam kejadian baru-baru ini, Aisha dilapor mengalami serangan panik selepas menamatkan persembahan duet bersama finalis TTMM, Marsya, anak kepada penyanyi terkenal Liza Hanim.
Rentetan kejadian itu, Aisha dikatakan sukar bernafas dan mengalami kekejangan tangan serta kaki sebelum dibantu pasukan perubatan.