KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Hafiz Suip menegaskan hubungan rapatnya dengan rakan artis, Adira Suhaimi tidak lebih daripada sekadar sahabat meskipun pernah menjalinkan hubungan istimewa suatu ketika dahulu.
Ini kerana, menurut Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, dia menghargai hubungan persahabatannya dengan Adira.
“Saya dengan Adira masih berkawan, tiada perasaan antara satu sama lain.
“Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri, jadi saya harap doa yang baik-baik sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas mengenai harapan segelintir peminat yang mahu melihat mereka kembali bersama selepas masing-masing kembali solo, Hafiz berkata, dia tidak mampu menghalang pandangan orang.
“Kalau peminat nak cuba kenenkan kami, saya nak buat macam mana? Mulut orang kita tidak boleh halang.
“Cuma harapan saya, jangan sampai timbul isu negatif kerana kami sudah ada hala tuju masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hafiz tidak menafikan rindu untuk kembali bergandingan bersama Adira merakamkan lagu duet selepas enam tahun.
Namun, buat masa ini fokusnya tertumpu kepada persiapan konsert solo yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Memang teringin nak berduet dengan Adira sebab sebelum ini setiap tiga tahun pasti ada lagu bersama. Tetapi mungkin selepas konsert nanti,” katanya.
Untuk rekod, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel Abdullah pada 14 Mei 2016 namun bercerai pada 29 Mei lalu.
Manakala, Adira pula bercerai talak satu dengan Datuk Seri Adnan Abu selepas sembilan tahun perkahwinan.
Hafiz bakal mengadakan konsert solo pada 1 November depan di Mega Star Arena, Bukit Bintang yang turut menampilkan Adira sebagai artis undangan bersama penyanyi Umairah.